Isu Panas

Jangan Halang Usaha Pas

ALOR SETAR :Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa mana-mana pihak tidak boleh menghalang mahupun mempertikai sebarang usaha yang dilakukan Pas.

Memetik sumber Sinar Harian, ia kerana segala pendekatan yang dilaksanakan adalah selaras berdasarkan perlembagaan parti serta undang-undang negara.

“Tak boleh dipertikai lagi bahawa Pas satu-satunya parti Islam yang ditubuhkan mengikut undang-undang negara.

“Pas tak boleh lari daripada perjuangan agenda Islam, termasuklah di Parlimen dan Dun melalui pendekatan terkini Pas yang mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan aluan sempena perasmian Muktamar Tahunan Pas kali ke-63 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, di sini, semalam.

Menurutnya, Pas memilih berkubu di Kota Sarang Semut kerana kali terakhir Muktamar Pas berlangsung di Kedah adalah pada 2006 sebelum Pas berjaya mentadbir kerajaan Kedah pada 2008.

“PRU12 telah berjaya meletakkan Pas sebagai parti pemerintah di negeri hijau kuning bersama rakan-rakan (PR). Insya-ALLAH muktamar kali ini akan berlaku perkara sama pada pilihan raya akan datang.

“Kita meneruskan muktamar walaupun ada parti lain yang menangguhkan muktamar mereka kerana kita berpandangan suara jemaah sangat penting khusus menjelang PRU14,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengharapkan supaya semua perwakilan dapat memberi fokus bermuhasabah dan menyumbang idea perancangan bersama blok ketiga dalam menuju perjuangan.

“Meskipun Pas dan blok ketiga dianggap kerdil, perjuangan ini mesti diteruskan berdepan kumpulan yang anggap mereka gagah perkasa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");