Berita Hari Ini

JPJ Sasar RM4 Bilion Pungutan Hasil Tahun Ini

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasar sejumlah RM4 bilion pungutan hasil melalui pelbagai perkhidmatan disediakan pada tahun ini, berbanding RM3.8 bilion yang diperoleh tahun lalu.

Pengarah Bahagian Kewangannya, Datuk Kamarudin Mohamad Saad, berkata sehingga Mac lalu dianggarkan sebanyak RM1 bilion pungutan hasil diperoleh pihak berkuasa itu, termasuk saman yang dikeluarkan.

“Pihak jabatan mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak lima peratus peningkatan pada setiap tahun, termasuk urusan pembaharuan cukai jalan, lesen memandu dan jumlah saman kepada pengguna yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya.

“Satu daripada usaha bagi meningkatkan jumlah itu, pihak kita kini dalam peringkat akhir melaksanakan kerjasama dengan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) bagi pengurusan secara atas talian yang lebih memudahkan pengguna,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari JPJ 2017 peringkat negeri di Dewan Tun Fatimah, JPJ Bukit Katil, di sini, hari ini.

Jelas Kamarudin lagi, kerjasama itu sudah mendapat persetujuan Pos Malaysia namun ia masih dalam peringkat persetujuan Kementerian Kewangan dan sistem teknologi maklumat, sebelum dapat diaplikasikan.

“Melalui kerjasama ini, pengguna tidak perlu lagi ke pejabat JPJ untuk memperbaharui lesen dan cukai jalan, malah perkhidmatan penghantaran dokumen juga disediakan Pos Malaysia.

“Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melengahkan urusan pembaharuan lesen dan cukai jalan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");