Berita Hari Ini

Kementerian Pendidikan Tidak Akan Campur Tangan Kes Pelajar Yang Disiasat Polis – Mahdzir Khalid

KANGAR: Kementerian Pendidikan tidak akan campurtangan dalam hal pelajar yang telah menjadi kes polis dan diselesaikan mengikut saluran undang-undang, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata Pengetua dan Guru Besar khususnya telah diingatkan agar tidak melindungi sebarang perbuatan pelajar yang menyalahi undang-undang atau disiplin sekolah.

“Kementerian sentiasa memandang serius pembabitan pelajar dengan kumpulan samseng, penyalahgunaan najis dadah dan bahan-bahan terlarang dan sebagainya.

“Kita akan tolong selagi boleh termasuk memberi kaunseling,” kata Mahdzir pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia ke-56 di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan polis semalam memberkas 13 orang pelajar sebuah sekolah menengah di Klang yang terbabit dengan aktiviti kumpulan samseng.

Mahdzir berkata walaupun penglibatan pelajar dengan kumpulan samseng masih terkawal namun ibu bapa perlu mengambil berat dan mengetahui aktiviti anak-anak mereka selepas waktu sekolah.

Dalam isu lain beliau berkata Kementerian Pendidikan akan memperkemaskan silibus mata pelajaran Sejarah untuk mengisi ”lompang” lima tahun dari tarikh kemerdekaan negara pada 1957 sehingga Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 1963.

Katanya banyak fakta tidak dimasukkan menyebabkan generasi sekarang tidak memahami dengan jelas mengenai penyertaan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.

Dalam ucaptamanya, Mahdzir berkata kes-kes pelajar terlibat dengan kumpulan samseng berlaku di kawasan-kawasan tertentu sahaja manakala pengambilan air ketum lebih banyak di negeri di utara semenanjung Malaysia.

Beliau berkata guru-guru yang mempunyai kebolehan dalam bidang ICT perlu mengembangkan bakat dengan membantu kementerian menjayakan konsep dunia pendidikan digital. — BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");