Berita Hari Ini

Klasifikan Rasuah Sebagai Keganasan Terhadap Negara, Kemanusiaan – ACAB

KUALA LUMPUR: Rasuah perlu diklasifikasikan sebagai keganasan terhadap negara dan jenayah terhadap kemanusiaan kerana ia lebih berbahaya serta memberi mudarat kepada kelangsungan hidup sesebuah negara bangsa, berbanding keganasan global.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (ACAB) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, oleh itu, lembaga itu menyokong penuh seruan ketua pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar kerajaan mengisytiharkan rasuah sebagai musuh nombor satu orang ramai.

“Seruan itu tepat pada masanya kerana SPRM, di bawah kepimpinan baharunya, kini masuk ke kawasan musuh untuk berperang. Momentum itu tidak sepatutnya dibiarkan menjadi lemah disebabkan ketiadaan kesungguhan politik dan keutamaan daripada pihak paling tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, sebenarnya, seruan agar rasuah dianggap sebagai musuh nombor satu orang ramai bukan sahaja ditujukan khusus kepada kerajaan, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sebelum ini, pada satu sesi dialog dengan para senator, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad menyeru kerajaan supaya mengisytiharkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebagai musuh nombor satu negara.

Beliau berkata para pegawai penguat kuasa dan individu yang diamanahkan kuasa telah menyumbang kepada peningkatan perbuatan negatif secara berleluasa, termasuk berkaitan dadah, pendatang tanpa izin, penyeludupan, ketirisan hasil negara, isu sempadan, jenayah kewangan, judi dan pelacuran.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");