Sukan Hari Ini

Mbappe Lonjak Monaco Ke Puncak Ligue 1

PARIS: Penyerang muda sensasi, Kylian Mbappe sekali lagi menjadi wira apabila jaringan kemenangannya membantu AS Monaco kembali ke puncak Ligue 1 ketika menumpaskan Lyon 2-1, awal pagi tadi.

Kemenangan ketujuh berturut-turut itu menyaksikan Monaco yang beraksi kurang satu perlawanan terikat 80 mata bersama Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan liga tetapi dipisahkan berdasarkan kelebihan gol.

PSG muncul pendahulu sementara buat kali pertama pada musim ini selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Montpellier, Sabtu lalu sebelum hilang semula kedudukan itu pagi tadi.

Dalam aksi pagi tadi, penyerang Colombia, Radamel Falcao menyambar bola muntah pada minit ke-36 untuk menjaringkan gol liga ke-19 pada kempen musim ini selepas kedua-dua pasukan buntu jaringan sepanjang setengah jam pertama perlawanan.

Jaringan pembukaan itu hadir selepas pemain sayap Lyon, Memphis Depay mensia-siakan peluang terbaik buat tuan rumah membuka tirai jaringan.

Selepas itu, tiba giliran pemain tengah Monaco, Bernardo Silva untuk mencetak nama selaku penjaring namun percubaannya terkena palang gol dan Mbappe akhirnya menjadikan kedudukan selesa 2-0 pada minit ke-44 untuk jaringan peribadinya ke-13.

Lyon kembali bernafas apabila Lucas Tousart menanduk padu hantaran sudut pada minit ke-50 untuk kembali merapatkan jurang, namun kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat.

“Semuanya boleh berubah daripada satu perlawanan ke perlawanan seterusnya, jadi kami perlu segera bersiap untuk pertemuan seterusnya menentang Toulouse,” kata Mbappe.

Hujung minggu ini, pasukan tangga ketiga, Nice menjadi tuan rumah kepada PSG, manakala Monaco berdepan Juventus dalam aksi pertama separuh akhir Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis depan. – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");