Perak Hari Ini

Nelayan Teluk Senangin Nafi Peroleh Pendapatan RM400 Sebulan 

LUMUT: Wakil nelayan di Teluk Senangin, Segari di sini tampil menafikan dakwaan bahawa pendapatan mereka masih ditahap RM400 sebulan seperti yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Bahrin Shah yang tersiar dalam portal berita Malaysia Kini, pada Selasa.

Menurut Mohamad Noh Tarmiji, 58, dakwaan itu seolah-olah cuba memperburukkan imej mereka sebagai kumpulan termiskin.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan pendapatan nelayan masih di tahap RM400.

“Sekiranya dakwaan itu dibuat 50 tahun lalu, mungkin betul tapi bukannya pada masa sekarang.

“Lebih menyedihkan lagi dakwaan itu dibuat oleh golongan yang dianggap terpelajar iaitu seorang Ahli Parlimen,” katanya.

Nelayan tradisional yang menggunakan peralatan pukat hanyut itu mengadakan sidang akhbar di pantai Teluk Senangin, sebentar tadi yang turut dihadiri kira-kira 30 nelayan berpangkalan di situ.

Turut hadir, Pengarah Perikanan negeri, Dr. Bah Piyan Tan; Pengerusi Sukarelawan Perikanan (Super) Teluk Senangin, Shafie Mohd Akhir, 39 dan Ketua Daerah Perikanan (KDP) Manjung, Rosdi Nazari Mat Din.

Terdahulu,Raja Bahrin dilaporkan berkata, kebanyakan pendapatan bulanan nelayan masih ditahap RM400 sebulan dan menafikan dakwaan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mendakwa pendapatan majoriti nelayan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

Sementara itu, bagi Shafie Mohd Akhir pula, ‘semalas-malas’ nelayan di Teluk Senangin, beroleh pendapatan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan bagi dua atau tiga kali sahaja ketika keluar ke laut.

“Itu bagi mereka yang keluar menangkap ikan antara dua atau tiga kali sebulan, kebiasaannya mereka boleh keluar ke laut lebih daripada 20 hari setiap bulan. Jadi, mana logiknya, dakwaan yang mengatakan kami berpendapatan RM400 sebulan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");