Berita Hari Ini

Pelbagai Kemudahan Rangsang Bayaran Balik Pinjaman PTPTN

LENGGONG: Jumlah kutipan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meningkat dengan mendadak sejak 2015 dengan mencatatkan jumlah sebanyak RM3.4 billion tahun lepas.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata antara faktor menyumbang kepada peningkatan itu adalah kemudahan pembayaran balik dan pelbagai tawaran insentif.

“Antara kemudahan pembayaran yang semakin menjadi pilihan peminjam adalah menerusi pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN di Klinik Kesihatan Lenggong di sini hari ini.

Pada majlis itu, PTPTN menyumbang dua katil untuk klinik bersalin dan alat permainan kanak-kanak bernilai RM20,000 dan ia merupakan CSR kedua selepas program sama di Hospital Sungai Buluh, Selangor dalam usaha membantu kebajikan masyarakat.

Menjelas lanjut, Shamsul Anuar berkata daripada pengeluaran RM1.4 billion dicatatkan oleh KWSP tahun lalu, sebanyak RM1 billion adalah daripada akaun kedua pengguna untuk pembayaran balik ke PTPTN.

“Sebarang pengeluaran daripada akaun kedua KWSP adalah mematuhi undang-undang dan prosedur dan atas persetujuan daripada pihak KWSP, PTPTN dan peminjam itu sendiri,” katanya.

Jumaat lepas, KWSP menyatakan pihaknya mencatatkan peningkatan sebanyak 150 peratus dalam pengeluaran akaun kedua bagi tujuan pendidikan, iaitu sebanyak RM1.4 billion dalam 86,725 transaksi bagi tahun 2016 berbanding hanya RM578 juta bagi tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar mengulangi keyakinan PTPTN mampu mengutip bayaran balik sebanyak RM4 billion tahun ini dengan pembukaan sebanyak 350,000 akaun SSPN i-Plus khusus bagi tabungan masa hadapan.

“Kita harap masyarakat boleh memupuk budaya menabung sejak kecil dan mengelakkan kebergantungan sepenuhnya kepada pinjaman institusi kewangan dan mula beralih kepada jaminan simpanan tersendiri,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");