Perak Hari Ini

Perlu Beretika, Ikut SOP Disiplinkan Pelajar

IPOH:Para guru dan pihak pengurusan sekolah dinasihati supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mendisiplinkan pelajar selain daripada sentiasa beretika semasa menjalankan tugas yang diamanahkan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata garis panduan berkaitan perlaksanaan hukuman telah diwujudkan di setiap sekolah termasuk juga melibatkan sekolah-sekolah tahfiz di negara ini.

Beliau mengulas mengenai kes pelajar sekolah tahfiz di Johor, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang meninggal dunia petang semalam akibat kecederaan teruk setelah didakwa dipukul pembantu warden di sekolah itu.

Jelas Nizar, bagi negeri Perak pantauan sentiasa dijalankan melibatkan Sekolah Agama Rakyat (SAR);Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) yang berdaftar dengan kerajaan negeri atau tidak.

“Kerajaan negeri sentiasa memantau dari segi infrastruktur dan silibus kurikulum serta termasuk juga kebajikan pelajar yang berada di institusi tahfiz di negeri ini

“Bagi Perak sendiri terdapat beberapa ketegori iaitu dibawah kelolaan negeri dan yang kedua melibatkan sekolah persendirian namun berdaftar dengan kerajaan negeri kini sebanyak 49 sekolah kesemuanya,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak pengusaha pengurus dan guru tahfiz disaran menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka bukan hanya mendidik tetapi mengetahui setiap tingkah laku murid dan pelajar mereka.

“Para guru perlu lebih prihatin mengenai perkara bersifat fizikal malah etika sebagai guru mesti ada janganlah melakukan perkara yang bertentang dengan norma Agama dan undang-undang,” katanya.

Tambahnya peringatan dan nasihat sentiasa diberikan kepada guru tahfiz di negeri ini supaya dapat menjaga kualiti mutu perkhidmatan supaya tidak dicemari.

Di negeri Perak, peranan Nazir, penyelia dan pegawai Tadbir Agama di Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) turut digembleng untuk memantau setiap sekolah yang beroperasi dan berdaftar.

“Nazir di bahagian pendidikan akan diberi tanggungjawab memantau keadaan sekolah dan turut membantu penyelia serta pegawai tadbir agama yang turun ke lapangan mengikut keperluan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan setakat ini tiada sebarang insiden dan laporan diterima mengenai salah laku pelajar dan pihak pengurusan sekolah Tahfiz di negeri ini.

“Jangan lalukan perkara merosakkan pelajar,anak-anak yang berdaftar di sekolah merupakan sebahagian kepada anak-anak kepada guru-guru tetapi dalam masa yang sama ibu bapa perlu memantau sama keadaan anak-anak mereka supaya boleh berkomunikasi jika ada perkara yang berlaku,” katanya.

Tambahnya lagi, institusi pendidikan merupakan satu institusi terbaik bagi membina modal insan dan sekiranya sesuatu insiden buruk berlaku ia adalah bersifat terpencil dan diluar batas pertimbangan normal dan etika pihak tertentu.

“Cara mendidik displin pelajar perlu mempunyai prosedurnya iaitu melalui teguran, kaunseling, pekeliling dan pemberian amaran malah terakhir tindakan buang sekolah jadi ia perlu difahami kembali oleh pihak institusi sekolah, guru dan ibu bapa.

“Pengurus dan guru perlu beretika, ikut laluan prosedur yang dibenarkan supaya bentuk pelannggaran displin mengikut kaedah bersesuaian dan tidak menyalahi undang-undang,” katanya lanjut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");