Perak Hari Ini

Permainan Wau Kapal Berpotensi Menjadi Tarikan Pelancongan Terbaru Di Teluk Intan

TELUK INTAN: Kerajaan negeri memberikan tumpuan serta perhatian istimewa terhadap permainan Wau Kapal dalam usaha untuk memelihara serta mengembangkan permainan warisan kebudayaan negeri Perak itu.

Pertandingan Wau Kapal Terbuka Perak telah dianjurkan bertempat di padang Sekolah Rendah Seri Setia, Teluk Intan semalam dan dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Mah dalam ucapannya berkata, penganjuran pertandingan ini berpotensi untuk menjadi tarikan pelancongan Bandar Teluk Intan yang baru dikalangan pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Saya ucapkan tahniah di atas penganjuran pertandingan ini dimana saya lihat pertandingan ini berpotensi untuk menjadi tarikan pelancongan Bandar Teluk Intan yang baru dikalangan pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Saya juga begitu teruja terhadap sambutan yang menggalakkan daripada para pelayang dari seluruh pelusuk negara,” katanya.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan berharap agar pertandingan ini dapat dijadikan acara tahunan dan berjanji akan sentiasa memberikan sokongan padu terhadap para pelayang di Teluk Intan.

“Saya berharap pertandingan Wau Kapal ini dapat dijadikan acara tahunan di sini dan saya berjanji akan sentiasa memberikan sokongan yang padu kepada para pelayang di Teluk Intan,” katanya.

Semenjak tahun 2015, lebih kurang 10 Pertandingan Wau Kapal telah dianjurkan secara kecil-kecilan di daerah Hilir Perak dan Pertandingan Terbuka Perak pada kali ini merupakan penganjuran pertandingan Wau Kapal pertama di Perak yang bertaraf kebangsaan.

Pertandingan kali ini telah mencatatkan rekod sebanyak 1,020 penyertaan. Penyertaan tersebut turut menyaksikan penglibatan lebih 90 peratus belia muda yang mempunyai minat mendalam terhadap permainan wau.

Kini terdapat lapan buah kelab Pelayang Wau Kapal di daerah Hilir Perak dan kelab-kelab tersebut mempunyai jumlah keahlian melebihi seramai 500 orang pelayang.

Wau Kapal merupakan wau yang terkenal di negeri Perak dimana bentuk, corak dan tarikan Wau Kapal adalah berbeza daripada Wau Bulan yang terkenal di negeri pantai timur seperti di Kelantan dan Terengganu.

Pertandingan Wau Kapal Terbuka Perak kali ini telah dijuarai oleh pelayang daripada Teluk Intan yang mewakili Kelab Pelayang Kampung Selabak, Meor Zahidi Meor Mohd Wahi yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM 3000.

Manakala tempat kedua telah dimenangi oleh pelayang daripada Kelab Kenanga yang memenangi wang tunai sebanyak RM 2000 dan Kelab Belalang di tempat ketiga memenangi wang tunai sebanyak RM 800. Para pemenang saguhati memenangi wang tunai sebanyak RM 50.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");