Berita Hari Ini

Permaisuri Johor Berkenan Lawat Pelajar Tahfiz Dipercayai Dipukul Warden Di HSI

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris hari ini berkenan melawat pelajar tahfiz yang dipercayai dipukul pembantu wardennya di Wad Dependensi Tinggi, Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

Raja Zarith Sofiah tiba di hospital tersebut pada 12 tengah hari dan kemudian meluangkan masa kira-kira 40 minit melawat pelajar itu, Mohamad Thaqif Amin Ghadaffi, 11, serta bertemu ibu bapanya.

Turut mengiringi baginda, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat dan Pengarah HSI Dr Azizah Riduan.

Sementara itu, Ayub yang ditemui pemberita selepas lawatan terbabit berkata Raja Zarith Sofiah menitahkan supaya pelajar madrasah tahfiz yang dipercayai turut dipukul bersama-sama Mohamad Thaqif Amin agar menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Raja Zarith Sofiah ada menitahkan kepada saya, pertamanya kita akan kenal pasti pelajar lain dalam kumpulan yang menerima hukuman yang sama (dipercayai dipukul) itu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebab kita kena bertindak awal.

“Kita tidak mahu ada kes lain, barulah tindakan diambil dan saya juga sudah bincang dengan Jabatan Kesihatan supaya meilhat dan memantau keadaan madrasah tahfiz itu termasuk aspek kesihatan, kebersihan dan sebagainya,” katanya.

Ayub berkata dalam masa sama, pihaknya turut meminta pihak pengurusan madrasah tahfiz itu supaya mengambil inisiatif sendiri membawa para pelajar yang terlibat, menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital atau klinik kesihatan berhampiran.

Menurutnya, Raja Zarith Sofiah turut menitahkan supaya beliau berbincang dengan Exco Agama Johor Abd Mutalip Abd Rahim bagi mengarahkan semua masjid dan surau di negeri ini melakukan solat hajat selepas solat Jumaat, minggu ini, bagi mendoakan kesihatan dan kesembuhan Mohamad Thaqif Amin.

Mengenai punca sebenar sehingga menyebabkan kedua-dua kaki pelajar itu terpaksa dipotong, beliau berkata laporan ujian darah dan kesihatan Mohamad Thaqif Amin akan diperoleh sekurang-kurangnya seminggu atau dua minggu lagi.

Mohamad Thaqif Amin yang dimasukkan ke HSI, Rabu lepas, menjadi tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden.

Mohamad Thaqif Amin kemudian terpaksa dipotong kedua kakinya kerana mahu mengelakkan jangkitan kuman ke atas tubuh badannya.

Pembantu warden lelaki berumur 29 tahun berkenaan pula kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan terhadap kes tersebut. — BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");