shadow

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyelar tindakan sesetengah agen pengutip wang yang mewakili Court Mammoth yang menggunakan taktik kotor.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan agen pengutip dilihat semakin menjadi-jadi dan ia dilihat berada di tahap yang melampau.

“PPIM telah menerima banyak aduan berkenaan pemungut hutang yang tidak beretika ini.

“Salah seorang pengadu kami telah menerima panggilan yang kononnya dari pihak polis Putrajaya berkenaan dengan tindakan mahkamah yang akan dikenakan kepada pihak pengadu,” katanya menerusi siaran media, hari ini.

Menurut beliau, terdapat agen pengutip hutang yang menyamar dirinya sebagai pihak polis dan mengatakan bahawa pengadu perlu berunding dengan pihak guaman untuk urusan selanjutnya.

Katanya, apabila pengadu menghubungi peguam tersebut, pihak peguam meminta wang berjumlah RM 23 Ribu dan harus dibayar pada hari yang sama untuk mengelakkan dari kes ini disebut di dalam mahkamah.

“Selain dari itu, taktik yang sering digunakan oleh pihak pengutip hutang adalah berlakon sebagai pihak mahkamah.

“Mereka menggertak/mengugut peminjam dengan berpura-pura menjadi peguam untuk untuk mengenakan tindakan mahkamah terhadap peminjam jika mereka tidak membuat pembayaran pinjaman mereka seperti yang dipinta.

“Sebelum tindakan mahkamah dilakukan, mereka akan menghubungi peminjam beratus kali untuk menekan peminjam.

Nadzim menambah, agen-agen berkenaan akan menggunakan pelbagai cara termasuklah bermain dengan akta-akta sehinggalah pengadu merasa amat tertekan dan terdesak.

Malah katanya, pengadu juga pernah diugut untuk disita barangan mereka kerana tunggakan hutang mereka.

“Tindakan untuk mengugut adalah tidak wajar digunakan oleh seorang pegawai pengutip hutang,” katanya lagi.

Komen & Pendapat