Sukan Hari Ini

Rasuah Bola Sepak : Dua Bekas Pemain Dihadap Ke Mahkamah

RASAH 28 April – Dua bekas pemain bola sepak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pagi tadi atas dua pertuduhan menawarkan rasuah sebanyak RM20,000 kepada dua pemain pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).

Bekas pemain kebangsaan dan Negeri Sembilan, Khairul Anuar Baharum, 43, dan bekas pemain kelab Public Bank, S G. Prem Kumar, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Kedua-duanya didakwa menawarkan suapan RM10,000 kepada penjaga gol MISC-MIFA, Mohd. Khairul Izzuwan Shaari sebagai dorongan bagi mengatur perlawanan dan tewas 0-2 dalam perlawanan antara kelab Liga Perdana itu dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) pada 7 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menawarkan suapan RM10,000 kepada pemain MISC-MIFA, S.Harivarman bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Jalan Andalas 1, Senawang Light Industry Area di Seremban antara pukul 9 hingga 10 malam pada 27 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");