Berita Hari Ini

Sistem Raja Berperlembagaan Jamin Kestabilan

KUALA LUMPUR: Sistem raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia telah menjamin kestabilan dan sekali gus membawa keyakinan kepada negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Dalam catatan menerusi blog beliau sskeruak.blogspot.my, beliau berkata pelabur asing telah menyenaraikan negara ini sebagai yang paling stabil dari segi politik di Asia Tenggara.

“Kita perlu mengekalkan imej dan reputatsi ini dan menunjukkan kepada dunia bahawa kita memilih kerajaan melalui peti undi dan bukan melalui keganasan jalanan seperti di sesetengah negara yang mencetuskan huru-hara selepas berlaku perubahan,” kata beliau.

Merujuk kepada istiadat pertabalan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 esok, beliau berkata kedudukan Yang di-Pertuan Agong adalah lebih daripada sekadar simbolik dan tidak harus dianggap sebagai ketua negara yang hanya menurut kata.

Beliau berkata sistem yang diamalkan di Malaysia adalah unik dan tidak terdapat di negara lain di dunia, kata Salleh sambil menambah “Agong mempunyai fungsi untuk dilaksanakan bagi mengekalkan sistem semak dan imbang dan baginda dipilih oleh Majlis Raja-raja dan berkhidmat secara bergilir.

“Jadi , Yang di-Pertuan Agong sendiri mengamalkan satu bentuk demokrasi walaupun raja di negeri-negeri memerintah dengan diwarisi secara turun-temurun.”

Sultan Muhammad V mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Disember tahun lalu. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");