Perak Hari Ini

Terap Konsep Doktor Keluarga Di Setiap Klinik Kesihatan

LENGGONG:Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia berusaha untuk meningkatkan kualiti sistem kesihatan dengan memberi tumpuan terhadap aspek penjagaan kesihatan primer.

Menterinya,Datuk Seri Dr.S.Subramaniam berkata antara inisiatif yang dijalankan pihak kementerian adalah pelaksanaan konsep doktor keluarga di klinik kesihatan.

“Ini bagi membolehkan individu dan keluarga mendapat rawatan yang berterusan dari doktor keluarga secara holistik dan komprehensif, dan ia berbeza jika menggunakan sistem ‘hopping’ dimana pesakit dirawat dari satu doktor kepada yang lain.

“Melalui khidmat doktor keluarga, khidmat nasihat, rundingcara, rawatan awal dan tindakan susul secara sistematik dapat diberikan dan sekaligus membantu pelanggan mengekalkan kesihatan yang optima sepanjang masa.

“Jika rakyat lebih sihat, ini dapat mengurangkan kemungkinan dari memerlukan rawatan sekunder di hospital,” katanya semasa berucap menyampaikan pada majlis perasmian Klinik Kesihatan Lenggong di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Klinik Kesihatan Lenggong di sini hari ini.

Jelasnya, Klinik Kesihatan Lenggong telah mula melaksanakan konsep doktor keluarga mulai Januari tahun ini.

Bagi negeri Perak, sehingga kini terdapat 15 buah hospital, 5 daripadanya adalah hospital berpakar, 82 buah klinik kesihatan, 70 klinik pergigian, 11 buah klinik kesihatan ibu dan anak, 233 buah klinik desa dan 25 buah klinik 1 Malaysia.

Manakala bagi daerah hulu Perak pula terdapat Hospital Gerik, lima klinik kesihatan, satu klinik kesihatan ibu dan anak, satu klinik 1 Malaysia, 23 klinik desa dan tiga pasukan bergerak orang asli telah diwujudkan bertujuan menyampaikan perkhidmatan kesihatan kepada hampir 97 ribu orang penduduk.

Sementara itu, Klinik Kesihatan Lenggong berjaya dibina pada 18 Oktober 2013 dengan perkhidmatan 9 klinik desa sedia ada yang dekat dan dapat memberi kemudahan kepada hampir 25,000 orang penduduk Lenggong.

Klinik Kesihatan Lenggong mula beroperasi pada 3 Februari 2014 turut menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit luar, rawatan kecemasan 24 jam, penjagaan kesihatan ibu dan kanak-kanak, perkhidmatan pasukan sekolah, makmal perubatan, farmasi, inspektorat, pergigian, perkhidmatan x-ray, rehabilitasi dan pusat bersalin alternatif .

Jelasnya lagi, sejak klinik ini mula beroperasi, penyampaian perkhidmatan kesihatan dapat dinikmati oleh lebih ramai pesakit apabila kedatangan bulanan di perkhidmatan kecemasan selepas waktu pejabat mencatatkan sebanyak 650 orang bagi tempoh sebulan manakala purata kedatangan harian juga telah meningkat iaitu sebanyak 48 peratus.

“Pertambahan kedatangan pesakit ini merupakan sesuatu yang positif di mana ia menunjukkan perkhidmatan kesihatan yang lengkap dan pelbagai dalam satu klinik dapat dinikmati dengan lebih meluas dan seterusnya memastikan kesejahteraan kesihatan rakyat di Lenggong,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");