Berita Hari Ini

Beri Perhatian Aspek Keselamatan Telefon Bimbit

KUALA LUMPUR – Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, pengguna perlu memberi perhatian serius kepada soal keselamatan dalam penggunaan telefon bimbit di sebalik beberapa insiden yang dikaitkan dengan alat itu yang dilaporkan sebelum ini.

“Selain memastikan pengecas dan bateri telefon bimbit adalah tulin, pengguna turut perlu mengelak menggunakan telefon ketika di stesen minyak…jangan guna telefon bimbit dengan keterlaluan,” katanya kepada Bernama.

Katanya, tindakan mematikan telefon bimbit ketika dicas juga boleh ‘merehatkan’ alat itu buat sementara memandangkan ia kini tidak lagi menjadi alat perhubungan semata-mata malah digunakan untuk menonton filem, bermain ‘game’, melayari laman sosial dan sebagainya.

Beliau mengulas insiden seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dilaporkan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik telefon bimbit yang sedang dicas menggunakan ‘power bank’ di Melaka, Jumaat lepas.

Mangsa dilaporkan ditemui mati oleh ibunya dalam keadaan terbaring sambil mengenakan fon telinga yang disambungkan pada telefon bimbitnya dan dalam keadaan bercas pada sebuah power bank.

Pada 25 Ogos tahun lalu, seorang jurukamera melecur di paha kiri apabila power bank yang diletakkan di dalam begnya secara tiba-tiba terbakar ketika membuat tugasan di ibu negara.

Seorang pemandu bot berusia 27 tahun dilaporkan cedera pada tangan dan muka selepas telefon bimbit miliknya yang sedang dicas tiba-tiba meletup pada 23 April 2016 dalam kejadian di Yan, Kedah. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");