Perak Hari Ini

Dana Bantuan Bantu SJKC Dan SJKT Terus Berkembang

Pendekatan kerajaan Perak dengan menyalurkan dana bantuan kepada sekolah jenis kebangsaan ternyata sedikit sebanyak membantu institusi pendidikan berkenaan terus berkembang dalam melahirkan insan-insan yang lebih cemerlang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata setakat ini kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan utiliti bernilai hampir RM500,000 kepada 196 buah sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dalam enam bulan pertama tahun ini.

Menurut beliau, dana RM1 juta setahun yang telah diperkenalkan pada 2010 itu antara lain bertujuan untuk meringankan beban kos bekalan air dan elektrik sekolah-sekolah jenis kebangsaan berkenaan.

“Peruntukan itu melibatkan 111 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang menerima bantuan utiliti kira-kira RM395,084 manakala RM79,484 lagi untuk 85 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Ini membuktikan komitmen kerajaan negeri terutamanya Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap soal pendidikan termasuk pembangunan modal insan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

“Malah penerapan aspek pendidikan merupakan cara berkesan untuk keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya selepas majlis penyerahan sembilan bantuan utiliti SJKT kepada guru besar bagi daerah Batang Padang dan Muallim di SJKT Ladang Sungkai di sini petang ini.

Pada majlis itu, Mah turut menyampaikan bantuan kepada 170 penerima bantuan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan bagi kawasan Sungkai.

Menurut Dr Mah, pemberian jumlah bantuan kepada sekolah itu berbeza antara satu sama lain kerana ia mengikut perbelanjaan kos oleh sekolah serta jumlah pelajar.

Jelasnya lagi, peruntukan subsidi itu bukan sahaja menampung perbelanjaan utiliti sekolah tetapi boleh digunakan untuk membeli peralatan sekolah serta melaksanakan program pendidikan sekali gus membolehkan pengurusan sekolah berjalan dengan lebih teratur dan baik.

Selain bantuan tersebut, katanya kerajaan negeri turut memperuntukkan RM2 juta setiap tahun untuk sekolah menengah jenis kebangsaan serta sekolah-sekolah mubaligh.

“Tahun lalu, kita telah meluluskan tanah seluas 2,000 ekar (809 hektar) untuk keperluan pendidikan sekolah-sekolah Tamil selain turut meluluskan 2,500 ekar (1,011 hektar) kepada SJKC serta 5,000 ekar kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");