Berita Hari Ini

Fikirlah: Bahasa Inggeris Perlukan Guru-Guru Cara ‘Lama’

KADAR lulus kertas peperiksaan bahasa Inggeris bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2016 ialah 79.4 peratus. Pencapaian itu meningkatkan keyakinan Kementerian Pelajaran untuk menaikkan tahap itu lebih tinggi, menjadikan kadar lulus kepada 81 peratus menjelang 2020.

Justeru itu, realitinya adalah, banyak yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak dalam usaha mencapai sasaran itu. Antara usaha yang dijalankan termasuk kaedah-kaedah baharu pengajaran dan pembelajaran, serta sukatan baharu pelajaran Bahasa Inggeris untuk sekolah-sekolah.

Bagi saya, dalam banyak hal, komponen yang paling penting adalah untuk mempunyai lebih ramai guru bahasa Inggeris seperti pada masa lepas dan ibu bapa yang memberikan sokongan padu kepada anak mereka dalam mempelajari bahasa Inggeris.

Guru-guru bahasa Inggeris cara lama seperti mendiang Lee Siew San, 80, yang menjadi ilham bagi kartunis terkenal Malaysia, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat untuk mencipta watak ikonik ”Mrs Hew” dalam siri Kampung Boy beliau, boleh dijadikan sebagai contoh untuk semua.

Lat berkata Lee walaupun seorang guru yang tegas namun mempunyai hati yang sangat baik. Beliaulah yang mengajar Lat dan rakan-rakannya di kampung cara untuk membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris. ”Mrs Hew” adalah orang yang memberi inspirasi untuk Lat belajar bahasa Inggeris, yang membantunya berjaya dalam kehidupan.

Bayangkanlah jika kita semua mempunyai ”Mrs Hew” kita sendiri ketika zaman persekolahan, seorang guru yang bertungkus-lumus memastikan bahasa Inggeris tersemat di hati, untuk membantu kita menguasai sekurang-kurangnya pengunaan asas bahasa itu.

Guru-guru ini biasanya menggunakan kaedah lama dalam pengajaran bahasa Inggeris, tegas dan sering memegang rotan tetapi hatinya sangat baik tanpa mengira apa jua yang anda lakukan, mereka akan sentiasa berusaha bukan sahaja untuk memastikan anda menguasai bahasa Inggeris malah menjadikan anda manusia yang lebih baik.

Saya mula mengenali ”Mrs Hew” saya sendiri ketika di Tingkatan Satu, pada 1991. Guru bahasa Inggeris saya adalah Choy Kim Chai (Mr Choy) yang juga kebetulan guru mata pelajaran Kemahiran Hidup.

Sejak kecil saya didedahkan kepada bahasa Inggeris oleh bapa saya yang sememangnya fasih berbahasa Inggeris. Beliau sering membelikan pelbagai buku dan komik bahasa Inggeris, satu daripadanya ialah Kampung Boy oleh Lat.

Bagaimanapun, Mersing di mana tempat saya membesar hanyalah sebuah pekan kecil nelayan dengan sebahagian besar penduduknya adalah masyarakat Melayu dan tidak bertutur dalam bahasa Inggeris.

Jadi saya hanya mempunyai beberapa orang kawan yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, oleh itu saya tidak mempunyai banyak peluang untuk meningkatkan penguasaan dalam bahasa itu. Mr Choy sendiri telah menegaskan bahawa untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, saya perlu selalu bercakap dan menulis dalam bahasa itu. Bagaimanapun, keadaan pada masa itu menyukarkan saya untuk menguasai bahasa Inggeris.

Kesungguhan saya untuk belajar bahasa Inggeris menyebabkan saya selalu diejek, dijauhi dan diketawakan oleh kawan-kawan yang menyangka bahawa saya ingin menjadi Mat Salleh, tetapi Mr Choy terus menggalakkan saya untuk bertutur dalam bahasa Inggeris serta meminta saya mengabaikan kata-kata orang lain.

Saya mempunyai banyak kenangan manis bersama Mr Choy, beliau menggalakkan saya untuk mengambil bahagian dalam banyak pertandingan bahasa Inggeris termasuk peraduan mengeja serta menulis esei, yang mana kebanyakannya saya kalah teruk terutamanya kerana penggunaan tatabahasa yang salah. Tetapi Mr Choy terus menegaskan agar tidak berputus asa dalam usaha memperbaiki kemampuan bahasa Inggeris saya.

Saya masih ingat, beliau pernah bergurau dengan menyatakan, jika seseorang mahu menambah ilmu maka belajarlah bahasa Inggeris, sebaliknya jika mahu menarik perhatian gadis-gadis, maka belajarlah bahasa Perancis.

Tidak dinafikan, saya pernah dirotan oleh Mr Choy dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, namun saya tidak pernah menyesal mengenainya.

Mengimbas kembali, saya terhutang budi pada Mr Choy atas segala ajarannya yang menjadi bekalan saya pada hari ini. Pengunaan bahasa Inggeris telah memberikan saya banyak kelebihan. Semasa di universiti di mana kebanyakan buku rujukan adalah dalam bahasa Inggeris, pengetahuan bahasa itu memberikan saya satu kelebihan.

Malah, ia juga banyak membantu saya sebagai wartawan, terutamanya dalam menjalankan temu bual dalam bahasa Inggeris dengan penuh yakin.

Mrs Hew dan Mr Choy adalah dua contoh guru bahasa Inggeris yang mengubah kehidupan kita dengan mengalakkan penguasaan bahasa itu. Bagaimanapun, pada masa kini, ramai ibu bapa terus menghentam guru-guru berikutan prestasi buruk anak mereka dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, setahu saya, masih terdapat ramai guru seperti Mrs Hew dan Mr Choy.

Kini, anak perempuan saya berusia 12 tahun dan boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, terima kasih kepada guru-guru bahasa Inggeris di sekolahnya yang turut memupuk minatnya untuk menulis. Saya juga menggalakkannya untuk bercakap dan menulis dalam bahasa Inggeris dan gembira bahawa dia juga mempunyai minat menulis seperti saya.

Kekurangan penguasaan bahasa Inggeris adalah satu perkara serius. Malah, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron pernah menyatakan kepada saya bahawa beliau telah tawar hati dengan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pegawai-pegawai kerajaan negeri, terutama dari gred 41 dan ke atas.

Keadaan itu amat membimbangkan kerajaan negeri, terutamanya apabila Melaka berusaha ke arah menjadi sebuah pelabuhan antarabangsa. Beliau berkata kerajaan negeri melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Para pegawai gred 41 biasanya adalah kalangan yang memegang ijazah atau lebih tinggi dari itu, jadi hakikat bahawa seseorang itu mempunyai ijazah sarjana muda tetapi kurang penguasaan dalam bahasa Inggeris menimbulkan persoalan mengenai tahap pendidikan bahasa berkenaan di negara ini.

Jadi bagaimanakah caranya untuk mewujudkan generasi yang mampu berbahasa Inggeris dengan lebih baik? Bagi saya, jawapannya adalah untuk mempunyai lebih ramai guru seperti Mrs Hew dan Mr Choy di sekolah-sekolah, dan ibu bapa yang ikhlas ingin melihat anak mereka menguasai bahasa Inggeris.

* Artikel ini ditulis oleh Fadzli Ramli, dari Bernama.

** Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");