shadow

PETALING JAYA – Polis percaya dapat menyelesaikan tujuh kes samun di sekitar negeri ini berikutan tertangkapnya sembilan anggota ‘Geng Koki’ yang aktif melakukan jenayah itu, semalam.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, sepasukan anggota dari cawangan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menahan tiga lelaki dan dua wanita berumur antara 20 dan 30 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Bukit Jalil Indah, Bandar Kinrara di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata dua lelaki ditahan semasa sedang memunggah barang dari kereta Toyota Camry ke dalam kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki tiga lagi suspek.

“Polis menahan kesemua mereka dan siasatan lanjut mendapati suspek pada awalnya telah menyamun sebuah kereta Toyota Camry di Plaza Tol Muda milik seorang pesara tentera berpangkat Leftenan pada pukul 11 malam, 16 Mei.

“Pemeriksaan di dalam kereta berkenaan membawa kepada penemuan selaras senapang patah jenama P.Baretta 12 Bore,” katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga menahan empat lagi lelaki yang merupakan anggota kumpulan itu pada hari yang sama di sekitar Serdang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

“Kami sedang memburu baki anggota kumpulan ini dan mereka ini dipercayai aktif sejak April tahun ini selain terlibat dalam beberapa siri kejadian samun di Petaling Jaya, Sungai Buloh dan Shah Alam.

“Kita percaya dengan penahanan ini, sebanyak tujuk kes samun berjaya diselesaikan dan kita akan memohon reman di mahkamah hari ini,” katanya.

Mohd Zani berkata lima daripada lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah berkaitan samun dan dadah. – BERNAMA

Komen & Pendapat