Berita Hari Ini

Gesa Tubuh Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan

KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Ceupacs) menggesa agensi-agensi kerajaan menubuhkan jawatankuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) agar nasib penjawat awam yang berhadapan risiko keselamatan dan kesihatan ketika dalam perkhidmatan, terbela.

Presiden Ceupacs, Datuk Azih Muda berkata setiap tahun, jumlah penjawat awam yang berhadapan risiko isu keselamatan dan kesihatan meningkat dengan ketara disebabkan kurangnya langkah mencegah dalam menangani isu ini di agensi masing-masing.

Katanya sebagai contoh, Kementerian Pendidikan yang mempunyai kira-kira setengah juta kakitangan dilihat tidak mempunyai pasukan petugas sendiri bagi menangani isu itu sedangkan ia amat penting khususnya kepada guru-guru dan para pelajar yang terdedah kepada risiko itu setiap masa.

“Terdapat lebih 700 agensi kerajaan yang lain tetapi amat kurang daripadanya yang menubuhkan JKKP dan ini menyebabkan penjawat awam terdedah kepada pelbagai risiko semasa menjalankan tugas.

“JKKP ini seharusnya perlu diwujudkan di setiap agensi kerana jika tiada satu pihak yang bertanggungjawab dalam isu itu, ia tidak dapat diselenggarakan dengan baik.

“Apabila ada satu pihak yang bertanggungjawab, pihak pengurusan boleh semak semula SOP (prosedur operasi standard) yang berkaitan, langkah-langkah keselamatan berkaitan dan perkara-perkara yang tidak mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan 1994,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sektor Awam Peringkat Terengganu di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JKKP Negeri, Ir Dasuki Heak.

Mengulas lanjut, Azih berkata jumlah tuntutan ex-gratia bagi penjawat awam disebabkan kemalangan atau kesihatan pekerjaan dari tahun 2012 hingga 2015 adalah tinggi iaitu berjumlah RM148,750,683.70.

Disebabkan itu katanya, Cuepacs sudi bekerjasama dengan ketua-ketua perkhidmatan di agensi-agensi kerajaan dalam menubuhkan jawatankuasa itu antaranya memperluaskan bengkel yang diadakan hari ini itu di pelbagai agensi kerajaan di seluruh negara.

“Kita juga ada DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan), NIOSH (Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara)…sebab itu kita mahu adakan kolaborasi secara NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) bagi menjalin kerjasama erat dalam memastikan isu keselamatan dan kesihatan kepada semua sektor pekerjaaan diberi perhatian serius sebelum kita melangkah menuju era negara maju,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");