Perak Hari Ini

Hargai Jasa Anggota Bomba Tidak Cukup Sekadar Beri Surat Pujian- Sultan Perak

IPOH:Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa anggota Bomba yang berkhidmat di negara ini perlu diberikan penghargaan dan bentuk penghormatan yang sewajarnya berikutan mereka berhadapan dengan pelbagai bahaya dan dugaan ketika melaksanakan tugas serta menggalas tanggungjawab.

Titah Baginda, menghargai dan menghormati perkhidmatan ahli bomba tidak memadai sekadar hanya menganugerahkan medal, sijil dan cenderamata serta tidak mencukupi dengan ucapan dan surat pujian.

“Menghargai dan menghormati khidmat anggota bomba hendaknya tidak terbatas kepada program-program berbentuk perbarisan, pameran, persembahan budaya atau jamuan.

“‘Sambutan Hari Anggota Bomba’ akan lebih bermakna jika acara sambutan diisi dengan acara-acara berunsur spirituil, berunsur ilmu, berupaya meningkatkan penghayatan masyarakat dan aprisiasi negara, serta dilengkapi dengan program-program yang dapat memberikan impak bermakna, berupaya membawa perubahan-perubahan substantif kepada perkhidmatan yang memberikan manfaat jangka panjang,” titah baginda semasa merasmikan Hari Anngota Bomba Sedunia 2017 di Majlis Bandaran Ipoh di sini hari ini.

Baginda bertitah lagi terdapat lima perkara yang perlu dilaksanakan iaitu pertama, memperkasa program latihan dan tatacara operasi yang dapat meningkatkan tahap profesional anggota, kedua mengenal pasti peralatan terkini yang diperlukan dalam menghadapi cabaran senario semasa untuk membolehkan perkhidmatan yang lebih efektif dapat diberikan dan ketiga dengan menilai prosedur operasi dan kelengkapan yang perlu dibekalkan untuk meminimumkan risiko para anggota ketika menjalankan tugas.

Manakala bagi perkara keempat adalah merangka pakej perkhidmatan dan program kebajikan para anggota bukan sahaja semasa berkhidmat tetapi lebih penting pada usia tua persaraan, setimpal dengan tahap pengorbanan, beban tanggungjawab dan risiko yang dihadapi oleh anggota dan kelima meningkatkan kesedaran negara dan masyarakat akan pengorbanan ahli bomba agar negara dan masyarakat memberikan apresiasi yang lebih tinggi kepada ahli bomba semasa dalam perkhidmatan dan setelah bersara daripada perkhidmatan.

“Beta telah menyaksikan sendiri para anggota bomba menjalankan pelbagai operasi penyelamat di negeri Perak dan Beta amat menghargai komitmen dan dedikasi serta semangat bekerja yang dipamerkan oleh setiap anggota.

“Ketika melaksanakan tugas, para anggota telah menunjukkan sifat pengorbanan, sifat keinsanan dan sifat kemanusiaan yang tinggi dengan melaksanakan tanggungjawab tanpa mengenali waktu dan lelah, berpanas, berembun, berhujan, meredah air, mengharung lumpur, mendaki bukit, memanjat bangunan, menghadapi bahaya serta menanggung risiko, sedaya mungkin menghulurkan pertolongan kepada mangsa bencana,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah lagi, semangat berkhidmat dan semangat pengorbanan para anggota bomba merupakan satu amal makruf dalam usaha melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");