Berita Hari Ini

IPT Diminta Ubah Kandungan Kursus

JOHOR BAHRU – Semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini disarankan mengubah kandungan kursus yang ditawarkan kepada pelajar bagi memastikan ia mampu memenuhi kehendak pasaran Industri 4.0 atau Revolusi Perindustrian Keempat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata industri 4.0 merupakan industri yang lebih mementingkan robot automasi, analisis data besar dalam pelaksanaan tugas, dan banyak negara sedang dalam proses mengadaptasinya.

“Mengikut laporan global, industri 4.0 ini akan memudahkan kerja kita kerana banyak perkara digantikan dengan robotik namun pada masa sama akan menyebabkan negara-negara sedang membangun kehilangan sebanyak 7.1 juta peluang pekerjaan memandangkan ia tidak memerlukan lagi orang untuk memproses data atau sebagainya.

“Bagaimanapun, di sebalik kehilangan pekerjaan ini, beberapa peluang pekerjaan tertentu yang lebih canggih akan turut wujud seperti saintis data serta jurutera robotik.

“Oleh itu, kita kena melihat aspek ini dan saya telah minta supaya pihak pengurusan universiti menelitinya kerana kalau tidak, graduan tidak akan mempunyai nilai komersial apabila dipasarkan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Konvokesyen Kolej Universiti Selatan yang ke-26 di sini, hari ini.

Beliau berkata, di peringkat kerajaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) telah dipertanggungjawabkan untuk meneliti skop industri 4.0 yang mencakupi kesan-kesannya kepada industri sedia ada, dan menentukan kepakaran-kepakaran yang diperlukan.

“Kita kena mula berlatih, kalau boleh, bukan sahaja di peringkat Miti malah Kementerian Belia dan Sukan pun kerana ia mempunyai Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) selain melibatkan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");