Berita Hari Ini

Kadar Jenayah Seluruh Negara Menurun

KUALA LUMPUR – Indeks Jenayah di seluruh negara berkurangan sebanyak 9 peratus setahun dengan merekodkan jumlah penurunan keseluruhan sebanyak 47 peratus dari 2010 hingga 2016.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun kadar pengurangan jenayah pada 2016 agak perlahan dengan hanya mencatatkan 2.8 peratus, ia bukanlah petunjuk bahawa insiden jenayah semakin meningkat.

“…sebaliknya, ia memberi gambaran bahawa semakin ramai dalam kalangan rakyat yang mengambil inisiatif untuk melaporkan kejadian jenayah. Perkara ini membuktikan rakyat semakin cakna dan waspada dalam usaha mengurangkan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2016 yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan bahawa penurunan kadar jenayah yang lebih perlahan adalah selari dengan pertambahan penduduk serta pembangunan pesat negara.

“Bersandarkan hakikat bahawa bandar-bandar dan negara-negara paling selamat di dunia juga tidak bebas jenayah sepenuhnya, pencapaian NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) Mengurangkan Jenayah sehingga hujung 2016 adalah pencapaian yang boleh dibanggakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Petunjuk Persepsi Jenayah (PCI) yang diperkenalkan pada 2015 adalah sejajar dengan usaha kerajaan memerangi jenayah melalui pendekatan yang lebih tertumpu.

Daripada 80 peratus yang dicatatkan pada 2015, PCI mencatatkan penurunan ketara kepada 61 peratus tahun lepas.

“Angka ini melambangkan pengurangan dalam kegusaran dan kebimbangan rakyat terhadap kemungkinan menjadi mangsa jenayah sekaligus memberikan isyarat bahawa rakyat berasa lebih selamat,” katanya.

Selain itu, inisiatif Kepolisan Moden dan wawasan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyasarkan untuk mewujudkan pasukan polis berorientasikan perkhidmatan bertaraf dunia menjelang 2020 melalui penggunaan teknologi untuk meningkatkan keberkesanan dan produktiviti.

Menerusi penyelarasan dan proses mudah cara serta amalan kerja, anggota polis berupaya memfokuskan usaha membanteras elemen ancaman sedia ada dan berdepan dengan cabaran yang baharu, katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan juga melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengekang pemerdagangan manusia dan pengedaran dadah selain ancaman pengganas yang menerobos sempadan negara.

“Saya percaya Agensi Keselamatan Sempadan yang baru diwujudkan dan Makmal Keselamatan Sempadan yang diadakan pada April 2016 mampu memperkukuh sempadan negara dan mencegah sindiket penjenayah daripada membolosi dan beroperasi di sempadan negara,” kata beliau. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");