Berita Hari Ini

Kerajaan Kongsi Maklumat Dengan Tiga Negara

SHAH ALAM – Malaysia melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus bekerjasama rapat dan berkongsi maklumat dengan dengan angkatan tentera dari Indonesia, Thailand dan Filipina.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan tersebut bertujuan untuk memperkukuh kawalan keselamatan di negara masing-masing.

“Saya memantau secara dekat insiden serangan dan letupan bom di negara jiran yang berlaku dalam tempoh seminggu ini khususnya di Bangkok, Jakarta dan Mindanao.

“Insiden ini melibatkan letupan bom di sebuah hospital di Bangkok, yang mencederakan 24 orang. Kemudian disusuli letupan bom di Kampung Melayu, Jakarta Timur, yang meragut tiga nyawa anggota polis Indonesia. Seterusnya insiden pertempuran antara kumpulan militan dengan pihak tentera Filipina di Bandar Marawi, Mindanao, yang mengakibatkan 21 orang terbunuh.

“Saya telah berhubung dengan Menteri Pertahanan dari ketiga-tiga negara terbabit, Delfin Negrillo Lorenzana-Filipina, Prawit Wangsuwon-Thailand, Ryamizard Ryacudu-Indonesia, bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung insiden-insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini lapor Sinar Harian.

Beliau dalam masa sama turut mengarahkan ATM meningkatkan kawalan sempadan di seluruh negara.

Bagi meningkatkan kawalan serta memperkukuh keselamatan Sabah pula katanya, ATM akan melaksanakan penambahan atur gerak aset.

“Inisiatif ini melibatkan penambahan rondaan dua kapal yang akan diatur gerak hari ini bagi membantu memperketatkan kawalan di perairan Sabah, menempatkan anggota Quick Reaction Force (QRF) bersama trup yang beroperasi di pulau-pulau sekitar perairan Sabah, serta meningkatkan rondaan bot-bot tempur di kawasan yang dikenalpasti sebagai laluan masuk dari Selatan Filipina.

“Selain itu, ATM juga akan melaksanakan penambahan satu kompeni infantri Tentera Darat di kawasan Cenderawasih, Lahad Datu. Penambahan trup tersebut dilaksanakan bertujuan memastikan kawasan pantai di Lahad Datu terkawal sepenuhnya,” jelasnya.

Menurutnya lagi, inisiatif tersebut adalah pendekatan terkini yang dilaksanakan oleh ATM sebagai melengkapi inisiatif sebelum ini bagi memperkukuh keselamatan Sabah.

“Pelaksanaan inisiatif dan pendekatan ini termasuk mengatur gerak aset tambahan diperkirakan berupaya menangani serta memberi tindak balas dengan pantas terhadap sebarang ancaman yang wujud.

“Saya sudah berbincang berhubung perkara ini secara dekat dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Susulan itu, Ahmad Zahid telah mengarahkan agar ATM berkerjasama rapat dengan agensi-agensi keselamatan di negara ini untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan Sabah dan negara ini terus terpelihara,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");