Berita Hari Ini

Lebih RM880 Juga Diperlukan Bina Jambatan, Tingkat Kekuatan

KUANTAN: Kementerian Kerja Raya menjangkakan lebih RM880 juta diperlukan bagi membina 160 jambatan baharu di seluruh negara dan meningkatkan kekuatan jambatan sedia ada selain memasang papan tanda baharu mengenai had muatan kenderaan berat perdagangan.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata daripada jumlah itu RM80 juta adalah untuk membina jambatan baharu dan meningkatkan kekuatan 19 jambatan, yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

“RM800 juta lagi adalah bagi membaik pulih 141 jambatan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun bermula 2019. Pemasangan papan tanda baharu berhubung had muatan kenderaan berat pula dianggarkan menelan belanja RM700,000.

“Langkah ini diambil bagi memenuhi keperluan semasa dan selepas mengambil kira faktor keselamatan berikutan kelulusan peningkatan had berat muatan kenderaan perdagangan hasil permintaan pengusaha pengangkutan jenis ini,” katanya.

Fadillah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini hari ini, yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Pengarah JKR Datuk Seri Dr Roslan Md Taha.

Beliau berkata setakat ini, kementerian sedang memasang papan tanda baharu berkaitan had muatan di kawasan dikenal pasti dan menyekat jalan yang tidak boleh dilalui kenderaan berat pada kadar muatan ditetapkan.

Pewartaan berhubung had muatan itu akan dilaksanakan selepas kerja pemasangan papan tanda baharu siap dilakukan dan semua pengusaha pengangkutan perdagangan diharap mematuhi arahan baharu itu bagi menjamin keselamatan mereka dan pengguna jalan raya yang lain, katanya.

Dalam perkembangan lain, Fadillah memaklumkan hasil penilaian keberkesanan penggunaan teknologi pembinaan jalan berasaskan turapan getah dijangka dapat diketahui pada 2019.

“Laporan itu akan disediakan berpandukan kepada pelaksanaan projek perintis di Segamat, Johor sepanjang 10 kilometer yang dijangka dapat dilancarkan Ogos ini.

“Pembinaannya mengambil masa dua tahun sebelum kita boleh membuat perbandingan tentang kaedah lama dan baharu yang digunakan,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");