Berita Hari Ini

Mara Lahirkan 399 Pendidik Berkelulusan PhD, Tingkat Kompetensi

KUALA LUMPUR: Seramai 399 pendidik Institusi Pendidikan Mara (IPMa) yang memiliki kelulusan peringkat doktor falsafah (PhD) berjaya dilahirkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme dan kompetensi golongan pendidik organisasi berkenaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata usaha berkenaan merupakan antara inisiatif dilaksanakan bagi mengekalkan kemampanan sistem pendidikan Mara ke tahap yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan global.

Beliau berkata daripada 11,035 pendidik Mara, 2,366 individu pula memiliki kelulusan peringkat sarjana.

“Usaha penambahan bilangan ini diteruskan dengan 346 pendidik IMPa sedang mengikuti program PhD dan 769 pendidik di peringkat sarjana.

“Terkini, Mara telah meluluskan 21 pendidik daripada IKM (Institut Kemahiran Mara) untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Automotif di UniKL,” katanya pada sambutan Hari Pendidik Mara 2017, di sini malam tadi.

Turut hadir, dua Timbalan Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Pengerusi sementara Mara Datuk Dr Yusof Yacob serta Ketua Pengarah Mara Datuk Azhar Abdul Manaf.

Ismail Sabri berkata 15 pensyarah daripada Kolej Profesional Mara (KPM) dan Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) bakal ditaja Mara bagi mengikuti persijilan profesional Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) mulai Julai ini melalui kerjasama yang telah ditandatangani.

Beliau berkata Mara telah menyediakan satu ekosistem pendidikan terbaik di negara ini meliputi pelbagai peringkat pendidikan bermula daripada pendidikan prasekolah, pendidikan menengah serta program di peringkat sijil sehingga ijazah.

“Di samping itu, bagi laluan akademik, Mara menawarkan program melalui institusi pendidikan seperti Kolej Mara, KPM, Kolej Poly-Tech Mara, KUPTM dan UniMara,” katanya.

Pada majlis itu, 25 pendidik Mara menerima anugerah di atas kecemerlangan mereka melaksanakan tanggungjawab dalam pelbagai bidang pengajian.

Ismail turut menyampaikan anugerah khas Tokoh Pendidik Mara 2017 kepada Datuk Abd Rahim Hashim, yang merupakan penggerak utama dalam memperkenalkan program peringkat diploma di Kolej Kemahiran Tinggi Mara.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");