Isu Panas

Pas Seperti Pasukan Bola Sepak Pro

KUALA TERENGGANU – Pemimpin yang bersama-sama dengan kepimpinan Pas disifatkan sebagai ‘pasukan bola sepak profesional’ di mana pemainnya diatur dalam posisi sesuai untuk bermain dan menyerang di ‘gelanggang’ dalam memastikan kejayaan serta keharmonian terus dikekalkan.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim ketika mengulas segelintir pihak yang mempersoalkan barisan kepimpinan Pas sesi 2017-2019 berkata, pertukaran ‘posisi’ adalah perkara biasa ibarat pemain bola sepak, tidak semua 25 pemainnya menyertai permainan kerana 11 pemain sahaja dibenarkan dalam padang pada satu-satu masa.

“Ada ketikanya seorang ‘midfield’ akan ambil tugas ‘striker’. Seorang pemain bertaraf profesional tak akan merajuk jika tak diturunkan oleh jurulatih. Bila masing-masing bersikap profesional demi kejayaan pasukan, pastinya keharmonian dalam pasukan akan dapat dikekalkan.

“Ahli Pas berdaftar sekarang ada 890,000 lebih selepas pembersihan. Tentu sekali peranan dan posisi boleh diubah dan ditukar serta digilirkan demi kepentingan parti. Tak ada apa yang anehnya bila ada pemimpin yang masuk dan keluar serta ditukar posisi kerana perjuangan ini bukannya bersifat statik. Apatah lagi bila sifat perjuangan Islam adalah saling sambung-menyambung,” katanya lapor Sinar Harian.

Pas sebelum ini menggugurkan Datuk Mustafa Ali dalam barisan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dan melantiknya sebagai Penasihat kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, manakala tiga pesuruhjaya negeri termasuk dari Terengganu turut ditukarkan.

Mengulas lanjut, Azman yakin ahli Pas cukup profesional berhubung perubahan struktur organisasi parti di peringkat barisan kepimpinan khususnya dan cukup optimis dengan persoalan dikemukakan ahli sebenarnya bertujuan meminta pencerahan dan bukan bantahan.

Sebaliknya, beliau menyifatkan pihak yang suka menjaga tepi kain secara melebih-lebih terhadap Pas adalah pihak di luar pasukan parti itu dan menyifatkan tindakan mereka tidak perlu dilayan.

Tegasnya, cadangan dan komen yang membina ke arah kebaikan perlu diambil perhatian sebaliknya yang berkonotasi negatif perlu ditinggalkan.

“Pelbagai respons dan maklum balas yang diterima terhadap susunan baru kabinet Pas Pusat, anggaplah ia lumrah biasa. Sesuatu yang baru akan mengundang perhatian khalayak. Apatah lagi, sekarang ini Pas berada di kedudukan terhormat di persada politik tanah air. Ramai yang minat hendak bercakap dan berkomentar tentang Pas,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");