Berita Hari Ini

Pemilik Kenderaan Berat Degil Guna Tayar Celup Tanpa Pengesahan SIRIM

CAMERON HIGHLANDS: Usaha pihak berkuasa memperketat penguatkuasaan larangan penggunaan tayar celup tanpa kelulusan Sirim Berhad tidak akan berhasil jika jika pemilik kenderaan sendiri tidak mahu mengubah sikap, kata Penasihat Kementerian Pengangkutan, Tan Sri M. Kayveas.

Beliau berkata penggunaan tayar celup yang tidak mengikut piawaian terutamanya kenderaan perdagangan berat seperti lori, treler dan bas dilihat semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Katanya, kecenderungan pemilik kenderaan menggunakan tayar celup tanpa kelulusan Sirim kerana ia lebih murah berbanding tayar baharu tanpa menyedari ia memberi ancaman keselamatan kepada pengguna jalan raya terutama apabila berlaku kemalangan.

“Adalah sukar untuk membendung penggunaannya jika pemilik kenderaan tidak mahu mengubah sikap dan mentaliti walaupun kementerian mengetatkan lagi undang-undang penggunaan tayar celup,” katanya.

Kayveas bercakap kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan kepada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Cameron Highlands berjumlah RM12,000 di Tanah Rata di sini,hari ini.

Kayveas, yang juga presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP), berkata kerajaan tidak pernah berkompromi dan akan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap mana-mana syarikat pengeluar tayar celup yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan.

Difahamkan, tayar celup lebih murah berbanding tayar baharu yang mencecah harga sehingga RM2,000 sebiji mengikut jenama dan saiz berbanding tayar celup sekitar RM500 sebiji.

Tayar celup diperbuat daripada tayar lama dan ditambah bahan getah, menjadikannya seakan-akan tayar baharu.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");