Sukan Hari Ini

Piala Sudirman: Jepun Kalahkan Malaysia

SKUAD negara gagal meneruskan momentum kemenangan dalam kempen Kejohanan Badminton Piala Sudirman selepas ditumpaskan Jepun 2-3 pada perlawanan kedua peringkat kumpulan C di Gold Coast, Australia, hari ini.

Beregu lelaki utama Goh V Shem/Tan Wee Kiong gagal memberikan mata pertama selepas diketepikan Takeshi Kamura/Keigo Sonoda , 21-18, 17- 21, 16-21.

Kemudian, pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei terus gagal menyumbang mata buat Malaysia apabila tewas dalam masa 42 minit menentang  Akane Yamaguchi  6-21, 17-21.

Bagaimanapun, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berjaya menyekat cabaran Yu Igarashi dengan straight set 21-8, 21-5, sekali gus menyumbangkan mata pertama buat Malaysia.

Hajat Malaysia untuk mendapatkan mata kedua tidak kesampaian apabila beregu wanita Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tewas 17-21, 18-21 dengan gandingan Mitsaki Matsutomo/Ayaka Takahashi.

Beregu campuran Tan Kian Meng/Lai Pei Jing sekadar melengkapkan mata kedua Malaysia dengan kemenangan 21-16, 16-21, 21-19 menewaskan Yuta Watanabe/Arisa Higashino.

Kekalahan ini sekali gus menyaksikan laluan Malaysia di suku akhir sukar kerana bakal diundi dengan  pasukan pilihan antaranya China yang menjuarai Kumpulan A.

Pada aksi pembukaan semalam, pasangan beregu negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, mengutip mata pertama selepas menewaskan Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich, 21-17, 21-13, sebelum pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, mudah menewaskan pemain di ranking ke-38  dunia, Fabian Roth, 21-12, 21-11, dalam aksi yang berlangsung selama 34 minit.

Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dipaksa berhempas-pulas sebelum mengesahkan kemenangan  apabila melebarkan kedudukan kepada 3-0 dengan menewaskan Jones Ralfy Jensen-Josche Zurwonne, 21-16, 21-19.

Goh Jin Wei turut tidak mengecewakan apabila mudah menumbangkan cabaran pemain berusia 25 tahun, Fabienne Deprez, 21-10,21-13, sebelum Vivian Hoo-Woon Khe Wei melengkapkan permulaan cemerlang negara dengan mata kelima apabila menewaskan Johanna Goliszewski-Isable Hettrich, 21-12, 21-11.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");