Isu Panas

PKR Terbuka Bincang Dengan PAS – Azmin

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpendirian terbuka dalam mengadakan sebarang pertemuan dengan PAS bagi membincangkan kemelut yang melanda hubungan mereka.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pihaknya sedia maklum mengenai keputusan PAS menamatkan hubungan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan PKR.

“Kami akan aturkan pertemuan dengan PAS dalam masa terdekat dan kami sedang cari masa yang sesuai,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional Tahunan Wanita Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ke-12 di sini Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor memaklumkan bahawa khidmat tiga anggota exco PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor masih kekal sehingga kini.”Mereka masih menjalankan tugas seperti biasa,” jawabnya ringkas.

Majlis Syura Ulama PAS pada 11 Mei sebulat suara mengambil keputusan untuk menamatkan Tahaluf Siyasi dengan PKR secara serta merta.

Mengenai keadaan politik semasa, Mohamed Azmin berkata beliau bersama barisan kepimpinan akan memastikan PKR terus menjadi sebuah parti bermaruah dan tidak akan membenarkan PKR menjadi ”tebusan politik”.

“Kami akan terus menggalas amanah yang diberikan rakyat. PKR akan terus menggembleng seluruh tenaga dan pemikiran bagi menangkis setiap cabaran mendatang,”katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");