shadow

KUALA LUMPUR: Dua orang anggota polis berpangkat ASP manakala seorang berpangkat Inspektor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi serentak di Melaka.

Operasi membabitkan anggota polis yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mengutip wang rasuah daripada pengusaha-pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka.

Turut ditahan, dua orang awam yang dipercayai menjadi orang tengah kepada ketiga-tiga pegawai polis yang ditahan untuk mengutip wang rasuah daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut serta seorang lagi pengusaha pusat judi haram.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan tidak menolak kemungkinan beberapa lagi tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

Katanya, operasi yang dilancarkan itu adalah hasil maklumat yang diperoleh SPRM daripada orang ramai berhubung paksaan oleh beberapa pegawai polis untuk membayar wang rasuah.

“Antara pegawai yang dipercayai sering terlibat terdiri daripada mereka yang bertugas di IPD Melaka Tengah dan IPD Jasin.

“Kesemuanya ditahan dalam Operasi yang dilancarkan kira-kira jam 11 pagi dan SPRM masih sedang mengesan beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam perbuatan itu termasuk pegawai-pegawai polis di Melaka,” katanya.

Jelasnya, SPRM turut menyiasat hubungan dua orang awam yang ditangkap dengan pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia.

“Ini adalah kerana, jika terdapat pegawai polis yang enggan bersekongkol dengan aktiviti tersebut, mereka akan ditukarkan dengan serta-merta.

“SPRM juga sedang menyiasat seorang Ketua Polis Daerah di negeri Melaka yang pernah ditukarkan sebelum ini kerana keengganannya bersekongkol dengan aktiviti-aktiviti tersebut,” jelasnya lagi.

Kesemua suspek berusia di antara 41 tahun dan 31 tahun dijangka akan direman di Mahkamah Putrajaya esok untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Komen & Pendapat