Berita Hari Ini

Sistem E-Kad Pati Gagal Berfungsi

SHAH ALAM – Program e-Kad sementara pekerja asing didakwa gagal untuk mengawal kebanjiran pekerja asing di negara ini ditambah dengan penguatkuasaan yang lemah oleh pihak berkaitan.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kedua-dua aspek ini saling berkaitan dalam menangani masalah lambakan pendatang asing tanpa izin (Pati).

“Baru-baru ini, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menyatakan hanya sejumlah 85,000 ribu Pati yang didaftarkan melalui program e-Kad sementara pekerja asing di mana angka tersebut jauh daripada sasaran yang ditetapkan kerajaan iaitu sekitar 400,000 hingga 600,000 orang.

“Memperlihatkan keadaan semakin kritikal, saya berpandangan program e-Kad sementara pekerja asing hanyalah satu usaha yang sia-sia jika tidak melaksanakan terlebih dahulu reformasi polisi pekerja dan penguatkuasaan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, program pemberian kad sementara atau e-Kad kepada Pati bermajikan, yang bakal menukar status mereka daripada pekerja haram kepada yang sah, dibuat sebagai langkah memenuhi keperluan sektor pekerjaan.

Tambah Abdullah lagi, masalah utama polisi kerja di negara ini adalah kerana kelemahan penguatkuasaan gaji minimum.

“Banyak majikan hanya ingat bahawa gaji minimum hanya perlu diimplimentasikan kepada pekerja tempatan, manakala pekerja asing dibiarkan untuk memperoleh gaji lebih rendah menyebabkan para majikan lebih memilih pekerja asing untuk menjimatkan kos.

“Lebih teruk lagi, pekerja asing tidak dibiayai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan SOCSO menyebabkan kerajaan begitu sukar untuk menyemak hasil pendapatan yang diberikan oleh majikan kepada mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan dalam mengatasi masalah Pati di negara ini.

“Sudahlah pintu masuk negara dikatakan bolos sehinggakan 5 juta Pati dibiarkan masuk begitu sahaja, inikan pula terpaksa membuat satu program untuk mendaftarkan mereka sebagai pekerja sah sementara.

“Apa sebenarnya matlamat dan hala tuju industri pekerja di Malaysia? Adakah kerajaan sebenarnya mengalu-alukan kedatangan Pati yang bersangkut paut dengan amalan rasuah dan kronisme?

“Bagaimana pula dikatakan kerajaan sedang melaksanakan program ‘pemutihan’ Pati, sedangkan kerajaan tidak mencegah terlebih dahulu gejala kemasukan mereka di negara ini?,” soalnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");