Perak Hari Ini

39 Kampung Sertai Program Panjut Di Padang Rengas

PADANG RENGAS – Sebanyak 39 kampung menyertai pertandingan dan pertunjukan Panjut 2017 Padang Rengas yang bermula hari ini hingga 23 Jun.

Pengarah program panjut Mohd Ariff Abdul Majid berkata pertandingan panjut itu menyediakan lima tema iaitu Negaraku, Tahun Melawat Perak 2017, Selamat Hari Raya, Bangunan Bersejarah dan Kebudayaan Malaysia untuk dipilih peserta dalam menghasilkan panjut yang menarik.

Katanya pertandingan kali ini menetapkan satu penyertaan bagi satu kampung berbanding dua penyertaan dari setiap kampung sebelum ini.

“Ia bagi membolehkan semangat kerjasama dan persefahaman antara generasi muda dan dewasa dapat dimantapkan dalam menghasilkan panjut yang menarik,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancarannya oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Padang Rengas di sini, hari ini.

Mohd Ariff yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Padang Rengas berkata pertandingan panjut kali ini menawarkan hadiah wang tunai bagi tempat pertama RM3,500, kedua (RM2,000), ketiga (RM1,000), RM500 (keempat) dan RM300 bagi tempat kelima.

Menurut beliau, ini merupakan tahun keempat sejak pertandingan panjut diadakan pada 2014.

“Juri pertandingan akan membuat penilaian untuk memilih pemenang pada 23 Jun ini mulai 10 malam hingga awal pagi,” katanya.

Selain itu Mohd Ariff berkata penganjur juga memperkenalkan pertandingan foto terbuka yang menawarkan hadiah wang tunai RM300 (johan), RM200 (kedua) dan RM100 bagi tempat ketiga.

Katanya gambar bagi penyertaan berkenaan hendaklah dihantar melalui instagram dengan #panjut 2017 dan tarikh tutup penyertaan pada 27 Jun ini. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");