Berita Hari Ini

Kerjasama dengan Geely mampu pulih PROTON – Najib

KUALA LUMPUR: Kerjasama antara PROTON Holdings Berhad (PROTON) dan Zhejiang Geely Holdings Group (Geely Holdings) diyakini dapat mengembalikan kegemilangan pengeluar kenderaan nasional itu untuk bersaing di pasaran antarabangsa, terutama di Asia Tenggara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, jika PROTON tidak ‘selamatkan’ menerusi kerjasama strategik berkenaan, lebih 10,000 kakitangannya akan berdepan dengan pemberhentian kerja.

Selain itu, katanya, ekosistem sekeliling PROTON juga bakal terjejas, sekali gus mempengaruhi lebih 200,000 pekerjaan.

“Ya, PROTON sebelum ini berdepan masalah dan kerajaan ketika itu dipanggil untuk membantu entiti berkenaan yang menyaksikan bantuan pembiayaan disalurkan sehingga dilanjutkan pada tahun 2016.

“Pelbagai persoalan timbul mengapa PROTON dibantu (kerajaan), walhal ia adalah syarikat swasta.

“Realitinya, keadaan (PROTON) kian suram. Namakan saja apa model perniagaan sekali pun, ia tidak berdaya tahan untuk dilaksanakan dalam tempoh jangka panjang. Ia juga dipengaruhi impian tidak realistik yang panjang dan kekurangan kefahaman komersial membabitkan bekas ketua penguji.

“Ini kerana, ‘beliau’ mahu PROTON menjadi 100 peratus milik Malaysia dan mahu melihat syarikat automotif itu rugi ratusan juta ringgit pada setiap tahun. Itu (kerugian) membabitkan wang rakyat. Oleh itu, adalah tidak bertanggungjawab jika model perniagaan lama diteruskan dan menyebabkan kegagalan,” katanya ketika berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian Definitif antara PROTON-Geely Holdings pada Jumaat lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, Najib dalam ucapannya tidak menyebut secara terperinci siapa ‘bekas ketua penguji’ berkenaan.

Mengulas kerjasama dengan syarikat gergasi automotif dunia dari China itu, Najib berkata, langkah strategik itu dibuat supaya PROTON boleh berdikari dan tidak lagi bergantung sepenuhnya atas bantuan kerajaan.

Katanya, sokongan kerajaan terhadap PROTON, merangkumi bimbingan dan syarat yang ditetapkan menyaksikan Geely hanya memiliki 49.9 peratus pegangan saham dalam PROTON.

“Ini supaya PROTON mempunyai kemampuan dan sumber untuk mengubah entiti itu dan supaya ia mampu menjadi contoh kepada kejayaan Malaysia.

“Bagi merealisasikan perkara itu, PROTON sudah menemui rakan kerjasama yang tepat meskipun ramai rakyat Malaysia tidak mengetahui secara terperinci mengenai Geely.

“Mereka mesti tahu kerana Geely adalah pemain industri terbesar dalam dunia automotif dunia sejak 10 tahun lalu. Volvo, sebuah syarikat automotif dari Sweden yang dimiliki Geely berjaya menjana keuntungan sebanyak AS$1.25 bilion, terbesar dalam tempoh 90 tahun, sekali gus mengukir sejarah syarikat berkenaan,” katanya.

Najib berharap episod baharu PROTON ini dapat menjadi contoh inisiatif pandang ke hadapan Malaysia yang akan terbina berlandaskan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang bermatlamat mahu menjana 2.26 juta pekerjaan dalam tempoh enam tahun akan datang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");