Sukan Hari Ini

Liga Hoki Dunia: Malaysia Semakin Hampir Ke Piala Dunia

PERTAHANAN hoki negara, Muhammad Razie Abd Rahim, meledak dua gol ketika membantu Malaysia membelasah China 5-1 untuk menamatkan cabaran Kumpulan A di tangga ketiga separuh akhir Liga Dunia di London.

Selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan, Malaysia membawa momentum menuju aksi terakhir peringkat kumpulan berdepan China.

Skuad kendalian Stephen Van Huizen mempamerkan aksi menakjubkan apabila berjaya mendahului  4-0 pada separuh masa pertama.

Penyerang negara, Faizal Saari, membuka tirai jaringan seawal minit kedua, sebelum Najmi Farizal Jazlan menambah jaringan 10 minit kemudian.

Muhammad Razie menambah derita China selepas menjaringkan dua gol pada minit ke-20 dan 27.

China berjaya menghasilkan gol tunggal mereka pada minit ke-43 menerusi percubaan Du Talake.

Jaringan Fitri Saari pada minit ke-51 melengkapkan kemenangan, sekaligus meletakkan Malaysia di tangga ketiga Kumpulan A dan bakal bertemu India dalam suku akhir.

“Saya rasa tekanan membuatkan pemain saya bersungguh-sungguh untuk layak ke suku akhir.

“Saya harap kita dapat terus fokus dan bersedia untuk aksi seterusnya yang pasti sukar. India pasukan yang hebat dan kita perlu lakukan sehabis baik, semua posisi perlu beraksi baik.

“Kesimpulannya, kesemua pemain perlu bersungguh-sungguh untuk mengatasi India,” kata Van Huizen.

“Malaysia beraksi cemerlang. Banyak gerakan kami tidak menjadi, ditambah pula dengan kecederaan pakar pukulan sudut penalti kami. Jadi, banyak peluang gagal disempurnakan,” kata pengendali skuad China, Cui Yingbiao.

 

-STADIUM ASTRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");