Sukan Hari Ini

Michelle Pengurus Baru BAM

KUALA LUMPUR: Kira-kira dua bulan selepas Lawrence Chew melepaskan jawatan Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), semalam badan induk itu mengumumkan pelantikan Michelle Chan (gambar kiri) sebagai penggantinya.

Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, Michelle menjadi pilihan utama berdasarkan pengalaman luasnya selama 16 tahun dalam pengurusan bola sepak.

“Walaupun pengalaman luasnya lebih kepada bola sepak, tapi apabila sudah menguruskan bola sepak, bukan sesuatu yang sukar untuk menguruskan sukan badminton pula,” kata Norza pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco BAM semalam.

Antara jawatan utama yang pernah digalas Michelle sebelum ini termasuk Penolong Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Jawatan yang disandangnya ketika ini adalah Penolong Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak Emiriah Arah Bersatu (UAE).

Sementara itu, Michelle yang berasal dari Kedah dan bakal memulakan tugas Ogos ini berkata, beliau begitu teruja untuk bekerja bersama BAM.

“Selepas sekian lama di luar negara, saya gembira dapat kembali semula ke Malaysia menabur khidmat untuk negara.

“Seperti yang presiden maklumkan walaupun badminton sukan berlainan tapi ia sebenarnya lebih kurang saja dalam soal pengurusan.

“Antara yang menarik minat saya untuk memohon jawatan ini adalah pengurusan BAM mempunyai pelan transformasi bagus.

“Pastinya ia cabaran yang unik dan menarik,” katanya.

Norza turut mengumumkan perlantikan Dr Suresh Kumar sebagai Pemangku Ketua Akademi Badminton Malaysia (ABM).

 

-HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");