Membawang Hari Ini

Pandangan Seni Shamsul Ghau-Ghau Kini Berubah

Pelakon dan pelawak Shamsul Ghau Ghau pernah berhasrat untuk meninggalkan bidang seni buat selamanya, namun impian itu bertukar selepas dia lebih memahami apa yang sebenarnya perlu dilakukan.

Katanya, adalah lebih sesuai jika dia menganggap lapangan seni sebagai cabaran dalam berdakwah terutama kepada sesama penggiat seni.

“Selepas mendalami ilmu agama, saya dapati tiada sempadan untuk kita berdakwah.

“Kalau semua orang asyik berdakwah di masjid, siapa nak mainkan peranan berdakwah di tempat hiburan sedangkan artis juga perlu didakwah.

“Esok-esok mereka akan persoalkan kita balik: kenapa kau tak cari aku dan tarik aku keluar dari neraka?” katanya.

Kehidupan anak kelahiran Perak itu mula berubah selepas dia pulang dari mengerjakan haji kira-kira lima tahun dulu.

Kini jadual Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin menjadi lebih teliti kerana selain mencari makan, dia juga memberi perhatian kepada aspek dosa dan pahala.

Namun, kadangkala pekerjaan dilakukan sekarang menyebabkan Shamsul tidak terlepas daripada menjadi bahan umpatan sesetengah orang.

Justeru, dia meminta orang ramai memberi sedikit ruang dan memahami fitrahnya sebagai manusia yang perlu meneruskan hidup dan mencari sesuap rezeki untuk keluarga.

“Ada orang tidak dapat membezakan aktitivi dakwah cari makan dengan dakwah cari pahala. Saya ada anak, keluarga nak ditanggung, hutang perlu dibayar.

“Jika ada tawaran yang sesuai, saya terima. Jika tiada tawaran, saya akan menggunakan ruang dan masa itu untuk mencari pahala banyak-banyak sebagai bekal dibawa mati. Mati ni boleh datang pada bila-bila masa,” katanya.

Dari sisi positif, pandangan seni Shamsul yang pernah menganggotai kumpulan pelawak Senario itu boleh dikatakan sudah berbeza.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");