Jenayah

PATI Indonesia Hadapi 7 Pertuduhan

KLANG  – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang lolos daripada tahanan polis pada 19 Jun lepas dan didiberkas semula pada 20 Jun, hari ini dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan itu dan enam pertuduhan lain, antaranya rogol dan rompak.

Tertuduh, Rahim Muhamad Pugawan, 23, mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Surita Budin.

Lelaki itu didakwa sengaja melarikan diri daripada jagaan seorang konstabel polis di tandas Pejabat Detektif dan Soal Siasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di sini, kira-kira 3.30 petang, 19 Jun mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga menghadapi pertuduhan merompak sebuah tab jenama Lenovo dan sebuah telefon bimbit jenama Samsung milik pasangan suami isteri berumur 54 dan 53 tahun dengan bersenjatakan sebilah pisau, di sebuah rumah di Bukit Kapar di sini, kira-kira 3.30 pagi pada 27 Mei lepas.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 392/Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda dan sebatan.

Pada hari , waktu dan di tempat yang sama, lelaki itu juga didakwa telah menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap anak perempuan pasangan suami isteri itu yang berusia 27 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Rahim seterusnya didakwa menyamun sebuah telefon bimbit jenama Samsung milik seorang wanita berusia 34 tahun dengan menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Kampung Rantau Panjang di sini, kira-kira 4.30 pagi, 7 Jun lepas, mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Di tempat, masa dan tarikh yang sama, tertuduh didakwa telah merogol wanita itu mengikut mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan.

Rahim juga menghadapi pertuduhan memasuki Malaysia tanpa pas yang sah di jalan masuk Plaza Tol Lebuhraya Shahpadu, Bukit Raja di sini, kira-kira 4.30 petang, 13 Jun lepas mengikut  Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum atau kedua-duanya serta minimum enam kali sebatan.

Hakim Surita menetapkan 20 Julai ini untuk menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rizal Azani Zainal Adzam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");