Perak Hari Ini

PERUTUSAN AIDILFITRI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ALLAHU AKBAR!   ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!

ALLAHU AKBAR WALILLAH ILHAM.

 

Ramadan telah memberikan seluas kesempatan kepada kita untuk mendampingkan diri dengan ILAHI, membolehkan manusia kembali kepada fitrahnya yang asal, dalam keadaan suci dan tulus setelah dibersihkan dengan amalan berpuasa, dilengkapkan pula dengan melakukan pelbagai ibadah.  Semoga  pelbagai  ibadah yang telah dilakukan sepanjang Ramadan, di samping membantu membersihkan rohani, turut membantu membina tubuh badan yang lebih sihat lagi cerdas.  Ramadan, bulan mulia untuk melaksanakan ibadah, bermula dengan ihsan ILAHI, di akhiri dengan kemerdekaan yang dilimpahi keampunan, menjelang Syawal.

 

  1. Islam mensyariatkan kita menyambut Aidilfitri; merayakan kemenangan mengawal nafsu dan merayakan kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara yang ditegah. Kalimat fitri bermaksud fitrah, ia itu kejayaan manusia kembali kepada fitrah yang asal; dilahirkan bersih daripada dosa dan noda; lalu ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA menganugerahkan satu hari istimewa yang dilimpahkan keriangan.

 

  1. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menyeru agar Aidilfitri dijadikan hari untuk bekerjasama dan hari untuk mengeratkan perpaduan ummah. Baginda mengisytiharkan Aidilfitri sebagai hari kedamaian – hari kegembiraan – hari keriangan.  Setelah menunaikan solat sunat Aidilfitri, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam akan menziarahi kaum keluarga dan rakan-rakan, serta turut meraikan kunjungan tetamu, dan menghidangkan juadah makanan.

 

  1. Sambutlah Aidilfitri, dalam semangat menghargai nikmat kurniaan ILAHI, serta berpandukan sunnah Rasul. Kunjungilah sanak saudara dan sahabat handai, di samping menerima kunjungan para tetamu dalam semangat ukhuwah dan persaudaraan.  Aidilfitri hendaklah dijadikan platform untuk membuktikan sifat persaudaraan umat Islam, sifat kemanusiaan umat Islam yang tidak bermusuh sesama insan, malah menghormati kewujudan kepelbagaian, dengan membuka pintu rumah, menerima kunjungan tetamu daripada pelbagai agama, kaum dan budaya.  Pancarkan sifat persaudaraan dan sifat kemanusiaan bersama fajar Aidilfitri.

 

  1. Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, insaflah! terdapat hampir enam puluh juta umat Islam sedang menumpang tinggal di pusat-pusat pelarian di serata dunia, memohon doa kepada ILAHI dan memohon ihsan manusia sejagat untuk mereka dapat berpeluang hidup bernegara secara normal.  Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, insaflah! di sekeliling kita masih terdapat golongan yang berada dalam kemiskinan, berkongsilah kemewahan rezeki yang dikurniakan ILAHI dengan memperbanyakkan amalan sedekah.  Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, sama-sama kita hargai pengorbanan yang dilakukan, dan perkhidmatan yang disediakan oleh pelbagai pihak, untuk membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang dan meriah; para anggota Pasukan Keselamatan, Polis dan Angkatan Tentera, Bomba dan  Penjara, Imigresen dan Kastam; kakitangan hospital, sektor pengangkutan dan perkhidmatan, begitu juga kakitangan media, radio dan televisyen.  Kepada mereka dan anggota keluarga mereka Beta dan Raja Permaisuri menzahirkan penghargaan.  Semoga pengorbanan mereka diterima oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala, sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan semasa berada di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika berada di alam barzakh, diberatkan timbangan amal ketika berada di Padang Mahsyar.

 

  1. Semoga rakyat Beta menyambut Aidilfitri dalam semangat bersyukur ke hadrat ILAHI. Daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, menurut yang diriwayatkan oleh Tabrani, Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam telah bersabda yang bermaksud:

 

“Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir”

 

Perbanyakan bertakbir dan bertahmid tanda kesyukuran kepada ALLAH YANG MAHA BESAR.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

ALLAHU AKBAR!  ALLAHU AKBAR!  ALLAHU AKBAR!

ALLAHU AKBAR WALILLAH ILHAM.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");