Berita Hari Ini

TIP: Pendakwaan Beri Peluang Malaysia Naik ‘Tahap Satu’ – Akhbar Satar

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneruskan prosedur pendakwaan selepas tangkapan untuk memperbaiki kedudukan negara dalam senarai Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).

Presiden Transparency International (TI) Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata, pendakwaan memberi ruang negara mencapai Tahap Satu selepas menunjukkan peningkatan keluar daripada senarai Pengawasan Tahap Dua sebelum ini.

Selain itu jelasnya, kerajaan juga harus melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat dan kerjasama badan-badan antarabangsa untuk memastikan hasrat itu mencapai kejayaan

“Untuk mencapai Tahap Satu saya berpendapat banyak lagi usaha yang perlu dilakukan.

“Pertama, kita perlu perluaskan penyiasatan dan juga melakukan banyak pendakwaan terhadap kes-kes pemerdagangan manusia.

“Kita juga hendaklah berusaha supaya ada pakar kaunselor yang dapat mengatasi masalah pemerdagangan manusia ini. Mereka juga hendak kita menyediakan peluang pekerjaan kepada individu berkenaan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Laporan TIP itu menyebut kerajaan Malaysia menunjukkan peningkatan usaha berbanding laporan yang dikeluarkan sebelum ini.

Laporan itu juga menyebut bahawa kedudukan Malaysia dinaik taraf kepada Tahap Dua dan kerajaan Malaysia telah menunjukkan peningkatan usaha dengan memperluas penyiasatan, pendakwaan dan sabitan pendakwaan.

Sebelum ini pada 2014, Jabatan Negara AS menurunkan kedudukan Malaysia kepada Tahap Tiga, kedudukan yang paling rendah yang boleh mencetuskan sekatan terhadap negara yang diberi kedudukan itu.

Dalam pada itu kata Akhbar, negara kini berada di landasan betul untuk mencapai Tahap Satu.

“Kita boleh dengan syarat bekerja keras dan ia bukan sahaja bergantung kepada kerajaan.

“Kita juga hendaklah bergantung kepada kerjasama orang ramai dan agensi penguatkuasa perlu giat melakukan latihan dan pastikan ada pendakwaan dilakukan.

“Ia akan memberi kesan baik kepada sesebuah negara,” jelasnya.

Pada 2015, Malaysia telah dinaikkan daripada Tahap 3 ke Senarai Pengawasan Tahap 2.

Laporan tahunan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara AS menyenaraikan kedudukan lebih 100 negara termasuk AS dalam usaha menangani pemerdagangan manusia dengan memberikan satu daripada empat peringkat: Tahap 1, Tahap 2, Senarai Pengawasan Tahap 2 dan Tahap 3.

Sebelum ini melalui Facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memuji kejayaan Malaysia selain mengucapkan tahniah kepada usaha kolektif mereka yang terlibat dalam mengekang aktiviti pemerdagangan manusia di negara ini.

Tegasnya, kerajaan akan tetap komited untuk menghentikan kegiatan pemerdagangan manusia, melindungi mangsa dan mendakwa mereka yang terlibat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");