Jenayah

Tutup Abjad, Nombor Pendaftaran Elak Dikesan

KUALA BERANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu hari ini berjaya menghidu tindakan beberapa pemilik kenderaan yang sengaja menampal pelekat hitam pada satu abjad di nombor pendaftaran kenderaan bagi mengelak identiti dikesan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Asisten Superintendan Ismail Man berkata taktik sedemikian antara 211 jumlah saman pelbagai kesalahan setakat 1 tengahari tadi dalam Op Selamat 11/2017 di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).

Katanya 173 daripada jumlah tersebut ialah kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan, manakala 38 lagi ialah kesalahan yang pelbagai.

“Daripada kesalahan yang pelbagai, kita mengenal pasti beberapa kenderaan yang sengaja menggunakan taktik menampal pelekat hitam pada salah satu abjad dan memudarkan nombor pendaftaran kenderaan bagi mengelakkan mereka dikesan melakukan kesalahan lalu lintas.

“Pemandu-pemandu ini dilihat sengaja membuang satu nombor atau huruf supaya kita tidak dapat membuktikan identiti dan kesalahan yang dilakukan oleh kenderaan terbabit apabila ia dirakam,” kata beliau yang ditemui pemberita di Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Ajil, hari ini.

Operasi itu melibatkan lima pegawai dan 18 anggota dari Balai Polis Bukit Aman dan kontinjen Terengganu bagi mengesan pemandu yang memandu melebihi had laju yang dibenarkan (110km/jam) dan kesalahan lain.

Selain itu, Ismail berkata PDRM telah membuat perancangan rapi bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menangani kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dan di sekitar lampu isyarat bulatan sotong, Marang hingga lampu isyarat Batangan.

“Kita telah mengerahkan anggota yang bertugas untuk membuat penarikan di lampu isyarat di Planetarium, Bulatan Sotong dan Petronas Marang bagi mengurangkan aliran kesesakan kenderaan. JKR juga turut menambahkan masa lampu isyarat bagi laluan kenderaan yang datang dari arah Kuala Terengganu dan juga Kuantan untuk mengurangkan kesesakan.

“Sepanjang Op Selamat 11 yang bakal berakhir 2 Julai ini, kontinjen Terengganu telah menurunkan seramai 452 kekuatan daripada pelbagai jabatan antaranya JPST, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Jenayah Komersial dan Narkotik,” katanya.

Hasil operasi tersebut, kadar kemalangan jalan raya direkodkan berkurangan berbanding tahun lepas dan mencegah kejadian jenayah seperti pecah rumah, katanya. -Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");