shadow

Pelakon Raja Ilya sanggup berdepan risiko dibedah demi perubahan pada bentuk tubuh badan bagi menjayakan naskhah Hollywood pertamanya, terbitan Marvel.

Katanya, pengorbanan itu dilakukan agar dirinya dapat berdiri sebaris dengan nama-nama pelakon antarabangsa lain.

Justeru, beberapa langkah persediaan mungkin boleh dilakukan dan itu adalah termasuk menjalani pembedahan dan menghasilkan otot tubuh.

“Syarikat perfileman antarabangsa agak was-was untuk menerima pelakon dari Asia, terutama bakat beragama Islam. Begitupun demi karier dan peluang keemasan ini, saya sanggup mengambil risiko.

“Saya masih berpegang pada agama dan mereka juga tahu saya seorang Muslim. Tetapi saya katakan kepada mereka, saya boleh berikan sedikit kelonggaran.

“Mereka sukakan warna kulit saya dan mahu saya mengekalkannya seperti sedia kala. Walaupun tiada paksaan, saya berasa perlu untuk melakukan sedikit perubahan pada diri supaya dilihat setanding artis antarabangsa,” katanya.

Untuk beraksi bogel memang tidak sesekali, mahupun babak yang dirasakan boleh menjejaskan namanya.

Bagaimanapun, Raja Ilyaa berkata, filem berkenaan mempunyai babak yang memerlukan dia untuk berpakaian seperti watak Wonder Woman.

“Apabila berlakon di layar lebar yang bukan saja untuk tontonan di Malaysia, saya rasa perlu berkorban sedikit. Saya tidak mahu ada kecacatan dari segi lakonan, bakat dan penampilan kerana saya juga akan membawa nama Malaysia,” katanya.

Menurut pemilik nama penuh Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 31, itu, dia telah didatangi syarikat yang sudi menghulurkan tajaan dalam bab memperkemaskan bentuk tubuhnya.

“Mereka boleh membantu saya menampakkan otot tubuh tanpa perlu bersusah-payah ke gimnasium.

“Lagi pun, saya tiada masa untuk ke gimnasium. Menerusi cara ini, saya dapat bentuk badan yang diinginkan dengan cepat.

“Malah, ada klinik yang sudi menaja saya dari atas ke bawah. Mereka berbuat demikian bukan kerana saya selebriti, tetapi demi penampilan saya dalam filem ini,” katanya.

Selain perlu dilihat mempunyai otot, untuk beraksi dalam filem yang tidak didedahkan judulnya itu juga memerlukan Raja Ilya meningkatkan daya stamina.

Latihan berkenaan akan dilakukan awal tahun depan sama ada di Los Angeles, Atlanta, New York atau London.

Mengikut perancangan, Raja Ilya akan berangkat pada Disember depan dan hal ini membataskannya untuk menerima tawaran berlakon dari produksi tempatan sepanjang 2018.

“Saya bukanlah menetap di sana, sebaliknya akan tetap pulang ke Malaysia. Cuma apabila ada tuntutan watak, barulah saya akan terbang ke AS,” katanya yang bakal muncul dengan filem KL Vampire, Ogos depan.

Komen & Pendapat