Berita Hari Ini

Demi Anak, Memang Wajar Vaksin Syarat Masuk Tadika

AMALAN ini bukan perkara baharu malah sudah lama dipraktikkan di seluruh dunia khasnya negara maju dan Malaysia sepatutnya sudah lama melaksanakan langkah ini sejak dahulu lagi.

Malangnya sikap ‘berlembut’ kerajaan menyebabkan ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan cerita palsu dan lebih dahsyat hasut masyarakat untuk turut sama menentang usaha vaksin terhadap anak kecil.

Paling lucu, ada menolak kerana wujud ramai ‘doktor Google’ atau ‘doktor Yahoo’ yang beri maklumat salah sertai mempengaruhi ibu muda dengan menyifatkan vaksin membawa kesan sampingan, tidak halal dan sebagainya.

Akibatnya statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan trend penolakan vaksin meningkat setiap tahun daripada hanya 470 kes pada 2013, kepada 1,292 (2014), 1,541 (2015) dan tahun lalu meningkat lagi menjadi 1,603 kes.

Sikap negatif itu turut mengakibatkan banyak kes penularan ruam dan wabak campak dalam kalangan kanak-kanak di peringkat prasekolah di seluruh negara apabila mangsa sihat terdedah bebas akibat pergaulan dengan pesakit.

Hasilnya ketika negara jiran kita, Singapura dan Brunei berjaya sepenuhnya membasmi dua penyakit itu, Malaysia pula sebaliknya mencatatkan rekod peningkatan ketara daripada 235 kes pada 2014 kepada 1,402 kes pada 2015.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam pernah berkata, ekoran tindakan segolongan ibu bapa menolak vaksin, liputan imunisasi menjadi kurang 95 peratus dan merencatkan usaha capai sasaran sifar penyakit measles.

Bayangkanlah beliau menberi contoh, sehingga Mac 2016, sebanyak 584 kes campak dan ruam telah dilaporkan, yang meningkat sebanyak 461.5 peratus berbanding hanya 104 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Sekadar makluman, vaksin campak dan ruam lazimnya cuma diberikan sebanyak dua dos kepada setiap kanak-kanak berdasarkan kepada Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan iaitu pada umur sembilan dan 12 bulan.

Justeru pengumuman terbaharu Subramaniam ketika menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat semalam untuk membenarkan hanya kanak-kanak yang lengkap divaksin penuh sahaja mendaftar belajar ke tadika adalah wajar.

Meskipun ia masih di peringkat kajian dan memerlukan maklum balas dari segi penerimaan rakyat, usaha tegas itu diharap dapat memastikan jaminan perlindungan kesihatan kanak-kanak sebelum keadaan menjadi terlambat.

“Ia bukan mahu diskriminasi kanak-kanak yang tidak divaksin, tetapi sebagai langkah perlindungan kepada kanak-kanak lain. Ini adalah antara kaedah yang kita sedang kaji yang sudah dilaksanakan di satu, dua negara,” katanya.

Presiden Persatuan Taksa Negeri Selangor, Mahanom Basri yang dipetik media tempatan turut bersetuju dengan langkah itu demi mengelakkan ramai kanak-kanak sihat menjadi mangsa terdedah kepada risiko pelbagai penyakit.

“Selain dapat memastikan kesihatan anak kecil ini lebih terjamin, ibu bapa juga akan berasa lebih yakin lagi untuk menghantar anak mereka ditinggalkan di taska atau tadika sepanjang hari terpaksa keluar bekerja,” jelas beliau.

Namun beliau tetap bimbang dengan sikap segelintir ibu bapa antivaksin lebih mementingkan diri sendiri sehingga mengakibatkan kemudaratan dan kesan lebih teruk kepada kanak-kanak lain khasnya yang lemah antibodi tubuh.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Tadika Islam Malaysia, Zaharah Awang menganggap pemberian vaksin sebagai ikhtiar pihak kerajaan untuk memastikan penularan penyakit berjangkit dapat dicegah dengan lebih awal.

“Suntikan vaksin merupakan hak kanak-kanak itu demi mendapat kesihatan lebih baik dan ibu bapa perlu faham. Janganlah kerana maklumat tidak tepat menerusi media sosial, anak sendiri menjadi mangsa pula,” tegasnya.

Hakikatnya, semua pihak wajar menerima langkah pencegahan awal dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dan bukannya menentang hanya kerana fanatik stigma tahyul tertentu pihak berkepentingan. – Mynewshub.cc/HAA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");