Berita Hari Ini

Doakan Malaysia, Pesan PM Kepada Bakal Haji

PETALING JAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta jemaah haji yang bakal ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji tahun ini agar mendoakan Malaysia terus aman dan meraih lebih banyak lagi kejayaan di persada dunia.

“Lakukan ibadah haji sebanyak mana dan yang terdaya. Jangan lupa berdoa demi negara Malaysia kita  tercinta. Berdoalah semoga Allah sentiasa memberi rahmat kepada negara kita agar menjadi sebuah negara yang aman, berjaya, yang akan terus disanjung tinggi oleh semua pihak.

“Semoga yang pergi haji ini akan mendapat haji yang mabrur. Selamat berlepas dan selamat kembali. Moga dapat lakukan ibadah haji dengan aman dan tenang,” katanya ketika berucap sebelum melepaskan kumpulan kedua jemaah haji Malaysia di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Duta Besar Arab Saudi di Malaysia Mahmoud Hussen Qattan.

Kumpulan kedua jemaah haji itu membabitkan 420 orang  berlepas 9.30 malam ini manakala lebih 400 orang daripada kumpulan pertama jemaah haji telah berlepas kira-kira pukul 6 pagi tadi.

Pada musim haji tahun ini, sejumlah 112 penerbangan disediakan untuk membawa 30,200 jemaah haji ke Tanah Suci menerusi penerbangan Malaysia Airlines Berhad dan FLYNAS, dengan penerbangan terakhir dijadual 26 Ogos ini.

Najib menarik perhatian, akhlak dan tingkah laku jemaah negara yang baik dan mematuhi arahan sewaktu menunaikan ibadah di Makkah antara faktor yang menyumbang kepada kuota tambahan yang diberikan kepada Malaysia tahun ini oleh kerajaan Arab Saudi.

“Kita di Malaysia ini dapat banyak keistimewaan. Jangan fikir yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek, tidak. Ini berlaku kerana usaha dilakukan kerajaan Malaysia.

“Bukan saya hendak dapatkan semua (penghargaan itu), tidak, ini semua kerana jemaah haji kita yang akhlaknya baik, tingkah laku baik, sikapnya yang baik, boleh jadi contoh kepada yang lain,” katanya.

Jelasnya, selain itu, faktor pentadbiran kerajaan dan pengurusan Lembaga Tabung Haji yang cekap juga turut diambil kira Riyadh dalam memberikan kuota tambahan tersebut yang telah dipohon sejak 2013 namun hanya diluluskan tahun ini.

“Alhamdulillah, kuota haji bertambah kerana permintaan yang saya ajukan dalam lawatan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud (ke Malaysia) baru-baru ini . Setelah mendapat pertimbangan istimewa, kuota haji kita naik kepada 30,200 berbanding 27,900 orang. Kerana itu ramai boleh pergi haji, jadi tidak perlu tertekan,” kata Najib.

Beliau menarik perhatian, selain itu hubungan istimewa dan akrab antara kedua-dua negara yang telah terjalin selama ini menjadi penyumbang kepada peningkatan kuota tambahan jemaah haji.

Menyentuh mengenai subsidi kerajaan kepada jemaah haji, perdana menteri menjelaskan, ada kemungkinan jumlah subsidi tersebut akan dinaikkan tahun depan namun beliau tidak mengulas lanjut.

“Kita mempunyai subsidi yang hampir sama banyak dengan apa yang jemaah haji sudah bayar iaitu hampir 100 peratus di mana tuan-tuan membayar RM9,980 dan kerajaan bagi subsidi sebanyak RM9,570. mungkin tahun depan akan lebih lagi subsidi  berbanding RM260 juta tahun ini.

“Kalau Tabung Haji tidak diuruskan dengan baik dan menjadi modal politik, jadi siapa yang akan rugi tuan puan? Inilah institusi kita (yang perlu dijaga) kerana Tabung Haji lah kita dapat subsidi yang banyak,” katanya.

Najib dan isterinya kemudian bersalaman dan bertegur sapa dengan bakal jemaah haji sebelum meninggalkan majlis kira-kira pukul 7 malam.  – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");