KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengisyti­harkan perang membanteras kegiatan kongsi gelap habis-habisan di negara ini berikutan tindakan segelintir ahli pertubuhan haram yang dilihat berani mencabar pa­su­kan keselamatan itu.

Perkara itu ditegaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang turut menjelaskan, pihaknya tidak akan tunduk de­ngan sebarang provokasi anggota kongsi gelap hanya kerana mereka tertekan dengan Op Cantas Khas yang kini digerakkan secara besar-besaran.

Sambil mengulangi amaran beliau sebelum ini, Khalid mengingatkan, perbuatan mencabar PDRM itu hanya akan mengakibatkan mereka lebih cepat diseret ke muka pengadilan.

“Mereka ini (kumpulan kongsi gelap) sengaja hendak menunjukkan diri relevan sebagai ahli geng. Saya hendak nasihatkan, mereka ini tidak akan ke mana kerana akhir­nya ke lokap juga.

“Jadi tidak perlu hendak tunjukkan keberanian jadi ahli kongsi gelap dengan melempar molotov cocktail kepada polis. Jangan cabar kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan PDRM dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan enam kumpulan kongsi gelap Geng 24 berusia 21 hingga 41 tahun yang bertindak ganas dengan melempar molotov cocktail di Ibu pejabat Polis (IPD) Kuala Muda, Kedah, Sabtu lalu sebelum mereka ditahan pagi Ahad lalu.

Dalam perkembangan ber­­a­singan, Khalid juga meminta semua pihak termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memberi ruang kepada polis menyiasat kes penipuan pajakan kenderaan di Kajang.

Jelasnya, menerusi pasukan khas yang ditubuhkan, polis sedang meneliti semua laporan yang dikemukakan oleh pihak ber­kai­tan.

“Jadi biarlah polis selesaikan dan saya nasihatkan semua pihak termasuk PPIM mematuhi undang-undang. Kalau tidak ada kuasa ja­ngan bertindak,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai hasrat pakatan pembangkang untuk mengadakan perhimpunan di Pe­taling Jaya 14 Ogos ini, Khalid memaklumkan, pihak­nya tidak mempunyai sebarang masalah untuk membenarkannya asalkan tidak melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Kita tidak ada masalah jika mereka hendak mengadakan perhimpunan. Selagi mereka patuhi akta berkenaan kita tidak halang, itu yang polis mahu,” kata Khalid.