Berita Hari Ini

KPWKM Sedia Bekerjasama Kaji Isu Perceraian

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi untuk membuat kajian bagi mengenal pasti masalah perceraian yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata adalah tidak wajar bagi menyalahkan sesuatu pihak atau golongan tertentu yang menyebabkan berlakunya perceraian tanpa mengetahui punca sebenar.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) baru-baru ini mengenai dakwaan kadar perceraian tertinggi bagi golongan kerja syif dalam sektor kesihatan awam berbanding sektor pekerjaan awam lain.

“Saya tidak boleh mengiakan atau menidakkan perkara ini sebab ia adalah kenyataan umum…kita perlu kaji dahulu, betul atau tidak dakwaan itu? Kalau betul ia di bawah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), mungkin kita boleh bekerjasama dengan Cuepacs untuk buat kajian,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian anugerah kepada beberapa syarikat, sempena Anugerah CSR Malaysia 2017 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, LPPKN iaitu agensi di bawah kementeriannya turut menganjurkan banyak program berunsurkan kekeluargaan dan rumahtangga seperti 2nd Honeymoon, Smart Start dan Therapy, yang mana ia antara satu penyelesaian yang boleh menyelamatkan sesuatu institusi rumahtangga sebelum berlaku perceraian.

Terdahulu, Rohani menyampaikan anugerah kepada 24 syarikat korporat di negara ini yang banyak membantu menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan.

“Saya mengalu-alukan usaha yang dibuat CSR Malaysia yang mana mereka mengumpulkan segala senarai syarikat-syarikat korporat bagi membantu mereka yang memerlukan. Pengiktirafan ini diberikan kepada beberapa syarikat mengikut kategori tertentu,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif RHA Media Sdn Bhd Datuk R. Rajendran dan Editor Pengurusan CSR Malaysia Lee Seng Chee.

Antara penerima anugerah tahun ini ialah Exim Bank, Axiata, Bank Islam, 7-Eleven, AirAsia Berhad, Star Media dan Ivory Properties Bhd.

Anugerah CSR Malaysia dianjurkan oleh majalah CSR Malaysia, sebuah penerbitan bebas yang berkongsi komitmen syarikat korporat di Malaysia dengan visi dan misi untuk mewujudkan kesedaran mengenai keperluan bagi membantu golongan memerlukan.

Sementara itu, Pengerusi Exim Bank Datuk Mat Noor Nawi berkata pihaknya berterima kasih dengan pengiktirafan diberikan oleh CSR Malaysia kepada bank berkenaan.

Mat Noor berkata setiap tahun Exim Bank memperuntukkan hampir RM1 juta bagi golongan yang kurang bernasib baik seperti di beberapa pusat jagaan orang-orang tua dan anak yatim, membayar zakat bagi golongan asnaf serta membantu etnik Rohingya di seluruh negara.

“Secara purata, dua atau tiga aktiviti CSR akan dijalankan. Kami menerima terlalu banyak permohonan namun diberikan mengikut peruntukan yang disediakan,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");