Perak Hari Ini

MB Gesa Jabatan, Majlis Agama Islam Cari Pendekatan Terbaik Dekati Rakyat

SUNGKAI: Semua jabatan dan majlis hal ehwal agama Islam di negeri ini digesa menggunakan pendekatan yang kreatif dan terbaik bagi mendekati rakyat di semua peringkat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penjawat awam bagi jabatan berkenaan harus berkerja dalam satu pasukan dan turun padang.
Malah katanya, usaha untuk mendengar masalah rakyat khususnya yang beragama Islam serta mengurangkan birokrasi antara mereka dan rakyat perlu dilakukan.

“Sebagaimana yang kita lihat hari ini, Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk) menunjukkan contoh yang baik dengan menyertai program permukiman dan mengenal pasti masalah dan memberi pendedahan kepada rakyat setempat dalam hal-hal syariat Islam.
“Secara tidak langsung, ini akan mengurangkan bebanan birokrasi dan sekaligus dapat menyelesaikan masalah yang mungkin dikatakan tertunggak sebelum ini”, katanya.

Tambah Zambry, sebagaimana mendapat perkenan dari Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terhadap beberapa pendekatan sebelum ini, Baginda amat prihatin dengan kaedah-kaedah yang dijalankan MAIPk bagi mendekati dan memberi bantuan kepada asnaf.

“Baginda Tuanku juga memberi penekanan supaya menambah lagi cara pendekatan yang lebih kreatif dalam mendekati golongan asnaf”, katanya.

Pada masa sama katanya, walaupun ada beberapa masalah terpencil seperti yang melibatkan hal penceraian yang tertunggak, namun kebiasaanya ia lebih kepada masalah peribadi antara pasangan.

“Saya tak kata yang kita sempurna namun, di peringkat jabatan ia tiada sebarang masalah dan kita sekarang sedang menghala ke proses pembaikkan dan mencari pendekatan yang lebih baik seperti yang kita lakukan hari ini”, kata Zambry.

Beliau berkata demikian pada Karnival Mahabbah Aidilfitri Menteri Besar Perak, Bersama Institusi Agama Islam Negeri Perak dan Warga Felda Parlimen Tanjong Malim di Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan, Felda Gunung Besout 3, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");