Isu Panas

Pakatan Yakin Raih 30 Peratus Undi Melayu

MELAKA:Pakatan Harapan yakin mampu menarik 30 peratus undi Melayu pada PRU akan datang dalam usaha pembangkang menawan Putrajaya.

Berbekalkan 30 peratus undi itu ditambah dengan sokongan yang diterima dari pengundi bukan Melayu, pakatan pembangkang percaya mereka akan mendapat undi majoriti, sekali gus membentuk kerajaan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Pakatan Harapan menyasarkan mendapat sekurang-kurangnya 25 peratus undi Melayu bagi memudahkan hasrat membentuk kerajaan selepas PRU14.

Menurutnya, sokongan pengundi bukan Melayu kepada Pakatan Harapan juga akan membolehkan pembangkang mengatasi Barisan Nasional (BN) dari segi kutipan undi.

“Kalau kerajaan Pulau Pinang yang difitnah sebagai anti-Islam dan anti-Melayu pun boleh mendapat sekurangnya 30 peratus undi Melayu, saya tidak lihat mengapa ini tidak boleh berlaku di negeri lain.

“Untuk menang kali ini kita mesti tarik sokongan orang Melayu dan inilah yang kita lakukan menerusi gabungan Pakatan Harapan.

“Malahan, tindakan BN yang semakin kerap menyerang pemimpin pakatan kini membuktikan mereka sendiri sudah risau dengan keadaan ini dan sedar masa mereka sudah tiba (untuk kalah),” katanya semasa satu ceramah politik anjuran DAP Melaka pada Isnin dipetik dari laman portal Sinar Harian.

Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, keputusan satu kaji selidik dijalankan Invoke Malaysia turut memberi keyakinan kepada beliau bahawa Pakatan Harapan berpeluang cerah membentuk majoriti pada PRU akan datang.

Kaji selidik itu memperbandingkan pertembungan tiga penjuru antara Umno, PKR dan Pas yang menunjukkan Umno mendapat jumlah undi 29 peratus, PKR 22.3 peratus dan Pas 11.2 peratus.

Berdasarkan keputusan kaji selidik ini katanya, Pakatan Harapan berpeluang cerah untuk menang sekiranya dapat menarik undi pengundi Melayu, termasuk mereka yang di atas pagar.

“Kita kena hadapi realiti bahawa kalau satu parti hendak lawan BN memang susah hendak menang, sebab itulah kita wujudkan Pakatan Harapan.

“Bukan macam Pas. Kalau Pas lawan BN bersendirian sudah tentu mereka akan kalah… tentu habis punya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");