Isu Panas

Pas Diminta Henti Uji Kesabaran PKR

SHAH ALAM – PKR minta Pas menghentikan segala tindakan yang boleh mencabar kesabaran parti tersebut.

Perkara itu disuarakan Naib Presidennya, Tian Chua selepas Pas mengambil pendekatan melancarkan jentera pilihan raya di Parlimen Permatang Pauh.

Beliau mendakwa, ia satu tindakan provokasi dan angkuh yang tidak membantu pembangkang menewaskan BN.

“Permatang Pauh dikenali umum sebagai kerusi parlimen yang berkait rapat dengan PKR dan menjadi lambang kebangkitan rakyat melalui gerakan Reformasi sejak PRU 1999 lagi.

“Sejak itu, Parlimen Permatang Pauh telah dimenangi PKR sebanyak enam kali pada PRU dan PRK. Sudah tentu kami sanggup mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan kekuatan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, pendirian Pas mahu menawan Permatang Pauh hanya menunjukkan pembangkang sedang bertelagah sesama sendiri.

“Sikap ini bercanggah dengan kenyataan pemimpin-pemimpin Pas yang menganggap ia masih sebahagian daripada pembangkang yang ingin mengalahkan Umno dan BN pada PRU14,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Fauzi Yusof ketika dihubungi membidas kenyataan Tian Chua itu.

Mohd Fauzi berkata, Pas tidak ada kena mengena dengan Pakatan Harapan, apatah lagi tahaluf siyasi dengan PKR di negeri ini.

“Atas dasar apa yang dia (Tian Chua) nak pertikai apa yang hendak Pas lakukan?

“Kita dah tak ada apa-apa ikatan dengan mereka dan Pas kini berada di dalam Gagasan Sejahtera. Jadi kami berhak melakukan apa sahaja gerak kerja yang dirasakan perlu,” katanya, dipetik dari laman portal Sinar Harian.

Mohd Fauzi berkata, PKR tidak mempunyai hak untuk mengarah dan menghalang sebarang tindakan dilakukan Pas.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh Pas Permatang Pauh hanyalah gerak kerja awal untuk menggerakkan jentera parti.

“Sama ada Pas akan bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh dan empat Dun, hanya bergantung kepada keputusan kepimpinan Pas Pusat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");