shadow

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan menerusi kementerian-kementerian berkaitan agar mengambil tindakan keras terhadap penipuan yang berlaku menerusi platform Mudah.my

Ketua Aktivis PPIM, Dato Nadzim Johan berkata, setakat ini pertubuhan itu telah menerima banyak aduan daripada para pengguna yang ditipu ketika berurusan dengan penjual atau pembeli di laman web berkenaan.

Malah katanya, senario ini menjadi semakin serius ekoran ramai pengguna telah menjadi mangsa ditipu.

“Kita minta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan mana-mana yang berkenaan untuk membuat tindakan dan perlu ada mekanisma baru serta akta baru bagi menangani masalah yang serius ini”katanya.

Katanya penipuan penjualan kereta antara yang jelas kelihatan kerana ramai penyangak telah mengambil kesempatan menggunakan platform ini untuk menipu para pengguna.

Jelasnya lagi,perkara ini telah menimbulkan banyak masalah kepada pengguna di luar sana. kemudahan yang disediakan oleh Mudah.my telah disalahgunakan oleh seseorang individu yang mengutip wang dengan cara yang mudah.

“Perkara ini harus dihentikan dengan segera agar ramai tidak menjadi mangsa dalam penipuan penjualan kereta”ujar beliau menerusi satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Muhammad Yusuf Azmi turut menjelaskan bahawa pihaknya sudah mengajukan perkara tersebut kepada pihak bank berulang kali namun tiada sebarang tindakan yang diambil sehingga sekarang.

“Perlu ada akta baru di mana pihak bank boleh mencari pembeli baru bagi menyambung bayar hutang pembeli lama,”tegasnya.

Beliau turut mempertikaikan tindakan pihak bank berkaitan kes Syarikat AGR yang dibenarkan memegang kenderaan pemilik asal lebih 7 bulan tanpa bayaran.

“Pemilik asal tidak bayar selama hampir 7 bulan, mengapa pihak bank tidak menarik balik kenderaan dan mengapa dibiarkan sebegitu sahaja,”katanya dalam satu sesi sidang media pada Selasa.

Turut hadir pada sesi sidang media itu Presiden Federation of Motor & Credit Company Association of Malaysia (FMC), Khoo Kah Jin.

Jelas Khoo FMC juga turut menerima banyak kes penipuan pembelian kenderaan melalui Mudah.my ini.

“Kes sambung bayar tidak seharusnya berlaku kerana ia menyalahi undang-undang serta perjanjian yang dibuat antara pembeli dan penjual tidak sah kontrak tersebut.

“Jangan mudah tertipu dengan tawaran harga kereta yang murah dan membayar kepada penjual kereta tanpa melihat kereta itu di depan mata,”katanya.

 

Komen & Pendapat