Berita Hari Ini

Sembilan Wat Diwartakan Untuk Masyarakat Siam

TUMPAT: Kerajaan negeri Kelantan mewartakan sembilan daripada 22 wat yang terdapat di negeri itu sebagai tapak kegunaan awam dan kebudayaan masyarakat Siam.

Pengisytiharan dibuat selepas proses penilaian dan dokumentasi selesai, dan semua wat berkenaan kini diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Sangha Negeri Kelantan (Majlis Sangha).

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, Majlis Sangha akan menguruskan wat berkenaan dan dibenarkan untuk memohon peruntukan pembangunan yang dikawal selia Ketua Jajahan.

“Wat bukan sahaja digunakan untuk tujuan keagamaan semata-mata, tetapi turut dianjurkan program kemasyarakatan, sekolah dan majlis ilmu untuk masyarakat Siam.

“Maka, sewajarnya pewartaan ini dibuat, dan ia membuktikan hubungan baik antara agama dan bangsa di Kelantan yang erat.

“Usaha ini juga kesinambungan daripada apa yang dilakukan bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu memastikan kepentingan agama dan bangsa lain tidak terpinggir,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Warta Kerajaan Negeri Kelantan – Tapak Wat kepada Majlis Sangha Negeri Kelantan di Wat Phikulthong, Kampung Terbak, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Majlis Sangha, Phra Phisansammanakit; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Annuar Tan dan Ketua Jajahan Tumpat, Rosnazli Amin.

Daripada 22 wat di Kelantan, Tumpat menempatkan 12 wat termasuk sembilan yang diwartakan, manakala bakinyadi Pasir Mas dan Bachok.

Ahmad berkata, urusan pewartaan dilaksana mengikut Kanun Tanah Negara (Akta 56 Tahun 1965) dan perisytiharan di bawah Subseksyen 62(1) sebagai kegunaan awam iaitu tapak rekreasi dan kebudayaan masyarakat Siam.

“Untuk wat lain yang masih belum diwartakan, ia masih dalam proses penilaian,” katanya.

 

-HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");